Carian
Fairphone Ingin Tawar Telefon Lebih Murah Di 23 Negara
April 8, 2024 Fahim Zahar

Fairphone adalah pengeluar telefon pintar dan produk audio yang bukan sahaja mementingkan alam sekitar, tetapi turut memberi pengguna hak membaiki peranti dengan sendiri. Bukan itu sahaja, telefon pintar mereka turut menyokong kemas kini perisian sehingga 10 tahun. Terkini, Reinier Hendriks selaku CEO Fairphone telah berkongsi mengenai perancangan masa hadapan Fairphone.

Pertama sekali, beliau menyatakan hasrat ingin mengembangkan jualan produk ke 23 negara lain. Besar kemungkinan masih lagi di dalam Eropah dan tidak pasti ada atau tidak perancangan membawa peranti ini ke peringkat global. Kemudian Hendriks turut berhasrat ingin menjual peranti pada harga lebih murah berbanding Fairphone 5 iaitu dari €699 ke €400.

Fairphone turut akan terus bekerjasama dengan Google dan Qualcomm bagi menjayakan idea mereka ini. Kelak jika produk Fairphone dikembangkan ke lebih banyak negara, tempahan pukal komponen adalah lebih murah dan ini boleh menyumbangkan kepada jualan produk Fariphone yang lebih mampu milik. Jika Fairphone dijual di Malaysia pada harga RM2060 untuk peranti kelas pertengahan yang anda boleh baiki sendiri dan bertahan selama 10 tahun, adakah anda akan membelinya?

Komen