Carian
Samsung Galaxy Watch4 Mungkin Akan Dilancarkan Semula Sebagai Galaxy Watch FE
April 8, 2024 Fahim Zahar

Samsung Galaxy Watch4 dikhabarkan akan dilancarkan semula sebagai Galaxy Watch FE. Jam tangan pintar Wear OS Samsung ini dilihat ingin dikembangkan lagi ke lebih banyak kategori agar pengguna mempunyai kebebasan memilih sama ada ingin jam yang lebih berkuasa atau yang asas.

Samsung juga mungkin ingin bersaing dengan Apple yang sedia menawarkan Apple Watch SE pada harga mampu milik. Menurut laporan Android Headlines, Galaxy Watch FE akan menggunakan nombor model SM-R866. Ia akan dijana dengan cip Exynos W920 iaitu cip yang dilancarkan pada 3 tahun lalu. Jam ini dikatakan boleh dilancarkan pada bila-bila masa dan tidak semestinya akan dilancarkan serentak dengan Galaxy Watch7.

Nampaknya tidak lama lagi kita akan ada pilihan Galaxy Watch7 Classic, Galaxy Watch7 dan Galaxy Watch FE sama seperti Apple Watch Ultra 2, Apple Watch Series 9 dan Apple Watch SE. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut.

Komen