Carian
MSI
Ulasan MSI MAG 341CQP QD-OLED – Monitor Paling Kena Dengan Jiwa
April 15, 2024 Fahim Zahar

Sudah banyak jenis monitor telah saya gunakan dan uji sejak mula bekerja di Amanz. Antara kegemaran saya setakat ini adalah PRISM+ NOMAD 16 sebuah monitor mudah-alih dengan panel OLED. Terbaru, saya diberi peluang menguji MSI MAG 341CQP QD-OLED iaitu monitor gaming dengan panel QD-OLED bersaiz 34-inci dengan lengkungan 1800R. Dalam artikel ini saya akan menjawab adakah monitor berharga RM4799 ini berbaloi?


SPESIFIKASI DAN REKAAN

Skrin34″ QD-OLED, 3440 x 1440 piksel (UWQHD),
21:9, 175Hz Adaptive-Sync, DisplayHDR True Black 400
Sokongan WarnaAdobe RGB 97.8%
DCI-P3 99.3%
139.1% sRGB
Nisbah Kontras1500000:1
Kecerahan (Nits)250 (SDR) / 1000 (HDR)
Sokongan Paparan AdaptifAdaptive-Sync
CagakVESA 100 x 100 mm
I/O1x Display Port (1.4a)
2x HDMI (2.1)
1x Type-C + PD 15W
2x USB 2.0 Type-A
1x USB 2.0 Type-B
1x Port bicu audio 3.5mm
AudioTiada
Kamera WebTiada
HargaRM 4,799

Saya amat suka monitor dengan skrin melengkung kerana memberi pengalaman penggunaan yang unik dan pandangan lebih luas. Skrin melengkung turut dapat membantu sedikit dalam mengurangkan pantulan cahaya matahari khususnya di pejabat Amanz yang dikelilingi tingkap besar. Untuk MSI MAG 341CQP QD-OLED, ini adalah kali pertama saya menguji monitor besar dengan skrin OLED. Bukan itu sahaja, ia juga adalah monitor gaming dengan sistem penyejukan terbina yang menyokong warna DisplayHDR True Black 400.

Jika anda tertanya kenapa monitor bersaiz 34-inci berharga hampir RM5000? Ini kerana ia turut menyokong sambungan HDMI 2.1 untuk bermain permainan video pada resolusi 4K 120FPS. Monitor ini turut mempunyai banyak port sambungan yang cukup untuk sambung komputer, konsol atau juga mengecas peranti pada kadar 15W. Skrin MAG 341CQP QD-OLED turut boleh diubah ketinggian dan sudut pandangan dengan sistem kaki yang mempunyai sistem pengurusan kabel yang tersorok.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Saya hanya berpeluang menggunakan monitor ini untuk sekitar dua minggu sahaja, jadi saya belum cukup puas menggunakannya. Apa yang saya boleh kongsi kepada anda, dalam tempoh penggunaan yang singkat ini saya dapat rasakan yang ini adalah antara monitor terbaik pernah saya uji. Dari sudut pemasangan sehinggalah ke penggunaan saya rasa gembira dan sangat berharap boleh terus menggunakan monitor ini.

Pertama, menggunakan sambungan USB-C mempunyai masalah skrin tidak penuh tidak seperti menggunakan sambungan HDMI. Tetapi saya tidak begitu hiraukan isu ini kerana masalah skrin tidak penuh pada monitor melengkung adalah perkara yang saya sudah boleh jangkakan. Walaupun begitu, selepas monitor disambung laptop saya dapat dicas untuk memberi kuasa sandaran. Memandangkan saya menggunakan monitor ini di dalam pejabat sokongan warna SDR dan HDR dengan kecerahan 250 nits dan 1000 nits sudah memadai. Setakat penggunaan saya, tiada masalah yang menjengkelkan berlaku sehingga mengganggu penglihatan saya.

Ketika bermain konsol, yang mana PlayStation 5 menjadi pilihan saya. Sambungan HDMI 2.1 adalah cukup bagus dengan sistem turut mengesan paparan HDR dan sokongan kadar segar semula yang tinggi. Warna yang dihasilkan adalah cukup terang, dinamik dan sedap mata memandang sehingga saya sendiri kerap memuji Wow! Kualiti panel OLED yang digunakan juga cukup baik dengan warna hitam yang nampak betul-betul hitam.

Menu OSD pada MSI MAG 341CQP QD-OLED turut direka agar ia mesra pengguna. Cuma kawalannya saya kurang gemar dengan tiga butang di belakang yang sukar untuk dilihat sehingga saya agak untuk menukar tetapan. Menu OSD ini memaparkan resolusi skrin, kadar segar semula, tetapan warna, tetapan HDR dan banyak lagi. Ia amat mudah untuk difahami bagi mereka yang gemar melakukan kustomasi pada tetapan monitor yang dimiliki.

Satu lagi ciri yang jarang saya gunakan pada sebuah monitor adalah KVM yang pada saya adalah satu ciri bonus. Perkara menarik lain yang ada pada monitor ini adalah MSI OLED Care 2.0 yang menggunakan sistem pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan untuk memastikan skrin lebih tahan lama sehingga yakin untuk memberi pengguna jaminan burn-in selama tiga tahun.

Menjadikan pengalaman penggunaan monitor ini lebih menarik untuk saya adalah aplikasi MSI Gaming Intelligence yang boleh dipasang pada Windows untuk lebih kawalan kepada tetapan paparan. Aplikasi ini akan menjadi alternatif kepada tetapan dalam menu OSD tadi.

APA ADA DALAM KOTAK?

Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut;

  • 1x MSI MAG 341CQP QD-OLED
  • 1x Kaki
  • 1x Cagak VESA
  • 1x Kabel HDMI 2.1
  • 1x Kabel kuasa
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan

KESIMPULAN

Dalam semakan saya, monitor OLED bersaiz lebih 30-inci adalah biasa untuk berharga sekitar atas RM4000. Tetapi untuk 34-inci yang berharga RM4799, sebenarnya agak tinggi. Jadi adakah ianya berbaloi? Selepas penggunaan singkat untuk dua minggu, saya telah menggunakan monitor ini bersama dengan dua laptop Windows 11 dan satu PlayStation 5. Apa yang saya boleh katakan, ini adalah antara monitor terbaik pernah saya gunakan.

Paling saya sukakan adalah warna dan tahap gelap warna hitam pada monitor ini. Menu OSD yang mesra pengguna, ada aplikasi yang memberikan kawalan tambahan serta ciri AI yang melindungi skrin agar bertahan lebih lama. MSI MAG 341CQP QD-OLED adalah sebuah monitor yang patut dimiliki jika anda mampu membelinya.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Kualiti skrin yang mantap dan cantik.
  • Warna hitam OLED yang sangat gelap.
  • Rekaan yang baik, moden, serta ringkas.
  • Padat dengan ciri dan aplikasi yang membantu.
  • Menu OSD yang mesra pengguna.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Skrin melengkung tidak mesra semua platform.
  • Butang kawalan menu OSD sukar dikawal.
  • Pengecasan USB-C terhad kepada 15W sahaja.
Komen