Carian
Menteri – TikTok Dan Meta Diminta Lebih Proaktif Pantau Kandungan Memudaratkan
April 9, 2024 Effi Saharudin

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah melakukan mesyuarat dengan penyedia platform TikTok dan Meta telah meminta kedua-dua laman media sosial popular ini untuk lebih proaktif dalam memantau kandungan yang memudaratkan. Ini berikutan pelbagai kes tular yang menyentuh isu 3R sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Berdasarkan statistik yang diberikan oleh SKMM, terdapat peningkatan kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top. Bagi tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sejumlah 51,638 kes telah dipanjangkan kepada penyedia platform dalam talian untuk tindakan lanjut. Jumlah ini adalah tinggi berbanding 42,904 kes kandungan direkodkan sepanjang tahun lalu.

Penyedia platform turut diminta menangani kandungan berkaitan 3R secara efektif dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia. Selain itu, TikTok dan Meta digesa untuk membendung kandungan kelakuan tidak sahih tersusun (Coordinated Inauthentic Behaviour), serta memantau dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan memudaratkan seperti scam serta perjudian haram dalam talian.

Ini bukanlah kali pertama pihak KKOM melakukan pertemuan dengan pengendali media sosial di Malaysia. Dalam pertemuan terdahulu, TikTok pernah berjanji akan melakukan pemantauan yang lebih baik bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali. Malangnya pisau sudah berbuah lebih lima kali dan pihak berkuasa di Malaysia sekadar melakukan pertemuan dan memberikan amaran.

Mungkin di Malaysia RUU yang lebih tegas seperti yang dilaksanakan di Kesatuan Eropah (EU) perlu dikuatkuasakan. Di Jerman misalnya kandungan pelampau Nazi perlu dipadam dengan kadar segera dan sekiranya berulang pengendali platform boleh dikenakan bayaran denda yang tinggi. Singapura juga tegas dalam pemantauan penyebaran maklumat yang memudaratkan di atas talian.

Di Malaysia sudah berlaku kes pengendali laman dikenakan denda kerana komen jelik yang ditinggalkan oleh pembaca. Jika pengendali laman di Malaysia dikenakan denda, mengapa perkara yang sama tidak terpakai pada pengendali luar negara? Hanya KKOM mempunyai jawapannya.

Komen