Carian
Saintis Yang Meramalkan Kewujudan Zarah Higgs Meninggal Dunia
April 10, 2024 Effi Saharudin

Kami yakin ramai mengetahui akan kewujudan Large Hadron Collider (LHC) di CERN Switzerland kerana ia menjadi plot di dalam buku dan kemudiannya filem Angels dan Demons oleh Dan Brown. Tetapi bagi insan yang lebih berusia seperti saya, LHC mula dikenali ramai kerana ia didakwa boleh menghasilkan lohong hitam yang akan memusnahkan bumi. Ini tidak berlaku tetapi sebaliknya LHC berjaya mengesahkan kewujudan Higgs boson atau nama lainnya zarah Higgs.

Peter Higgs, saintis yang namanya digunakan untuk menamakan Higgs Boson telah meninggal dunia pada 8 April lalu pada usia 94 tahun. Beliau dilaporkan meninggal dunia akibat sakit tua. Kewujudan Higgs boson diramalkan oleh Peter Higgs pada tahun 1964.

Menerusi teori beliau, wujud sebuah medan yang memberikan jisim kepada setiap partikel di alam semesta (kecuali proton). Hanya selepas partikel mempunyai jisim, ia boleh membentuk kesemua objek yang wujud. Ahli fizik menghabiskan berdekad lamanya untuk membuktikan kewujudan Higgs boson. Higgs boson ialah gelombang yang wujud di dalam medan ini. Penemuannya sekaligus mengesahkan juga kewujudan medan yang diberikan pula nama medan Higgs.

Ini hanya berlaku pada tahun 2012 apabila ia dikesan dalam eksperimen menggunakan LHC di CERN. Selepas kewujudannya disahkan, Peter Higgs dan François Englert dianugerahkan Hadiah Nobel dalam bidang fizik pada tahun 2013.

Komen