Carian
Galaxy AI Akan Turut Diterima Samsung Galaxy S21, S22, Fold3 dan Fold4
April 15, 2024 Effi Saharudin

Samsung pada waktu ini telah memberikan ciri Galaxy AI pada siri Galaxy S24, Tab S9, S23, Z Flip5 dan Z Fold5. Ramai juga pemilik peranti mercu lama Samsung yang agak kecewa ciri kecerdasan buatan (AI) yang berguna ini tidak diterima peranti mereka. Tetapi menurut Sammobile yang memetik forum rasmi Samsung melaporkan Galaxy AI akan turut diberikan kepada peranti mercu tahun 2021 dan 2022.

Ini bermakna Galaxy AI akan tiba ke siri Galaxy S21, S22, Z Flip3, Z Flip4, Z Fold3, Z Fold4, dan Tab S8 menerusi kemas kini One UI 6.1 yang akan diberikan pada bulan Mei. Namun begitu ciri Galaxy AI yang bakal diterima juga adalah tidak sepenuhnya seperti pada siri Galaxy S24.

Sebagai contoh peranti mercu 2022 akan menerima kesemua ciri Galaxy AI kecuali Instant Slo-mo. Pada peranti mercu 2021 pula hanya dua ciri AI akan diterima iaitu Circle to Search dan Magic Rewrite. Tiada sokongan alih bahasa masa nyata dan suntingan gambar menggunakan AI misalnya.

YJ Kim ketua Pasukan AI di perniagaan peranti mudah alih Samsung yang kami temubual di San Jose awal tahun ini sudahpun mengatakan tidak semua ciri Galaxy AI boleh diberikan pada peranti lama kerana kekangan kuasa memproses pada NPU cip yang digunakan.

Komen