Cari @ Amanz

Dengan pelancaran Samsung Galaxy S24, Galaxy S24+ dan Galaxy S24 Ultra minggu lalu, era telefon pintar dengan kecerdasan buatan (AI) bermula. Di bawah payung Galaxy AI, terdapat pelbagai ciri baharu pada siri Galaxy S24 yang belum pernah ditawarkan pada peranti lain di pasaran.

YJ Kim

Semasa di San Jose, kami sempat menemuramah YJ Kim Ketua Pasukan AI di perniagaan peranti mudah alih Samsung. Beliau sempat berkongsi sedikit sebanyak pelan masa depan penggunaan AI di Samsung serta menjawab soalan mengenai ciri-ciri yang ditawarkan sekarang.


Soalan – Mengapa baru sekarang Samsung melancarkan peranti dengan AI? Adakah sekadar mengikut trend semasa kerana dipopularkan oleh perkhidmatan AI popular seperti ChatGPT?

YJ Kim – Kami di Samsung bukan sekadar mengikut trend semasa. Samsung sejak dari awal menggunakan teknologi terkini pada peranti-peranti yang dikeluarkan. Penggunaan AI pada waktu ini tiba pada waktu yang tepat untuk di digunakan oleh konsumer. AI bukan sekadar digunakan untuk minat sementara tetapi adalah teknologi yang sangat berguna untuk aktiviti harian.

Soalan – Kami sedari pelbagai ciri seperti Live Translate dan Call Assist sekadar menyokong 13 bahasa. Sebagai wartawan daripada Asia Tenggara, bilakah pula Samsung akan menawarkan sokongan Bahasa Malaysia?

YJ Kim – Sangat hampir! Semasa ingin melancarkan Galaxy S24 kami sebenarnya mahu menyokong sebanyak mungkin bahasa-bahasa utama dunia. Tetapi sebelum ini setiap bahasa yang disokong perlu menjalani proses ujian yang ketat supaya boleh digunakan dengan baik apabila ditawarkan kepada pengguna. Sokongan Bahasa Malaysia memang telah dirancang. Ia akan tiba lebih awal daripada yang anda mungkin jangkakan.

Soalan – Kembali kepada topik Galaxy AI, mengapakah ia sekadar diberikan percuma sehingga penghujung 2025 sahaja kemudian memerlukan langganan?

YJ Kim – Ini adalah kerana kos untuk membangunkan model AI yang sering perlu dipertingkatkan bersama dengan kos pelayar yang perlu dipertimbangkan juga. Sungguhpun begitu sasaran kami (di Samsung) ialah menawarkan nilai yang baik untuk ciri yang diberikan kepada pelanggan. AI sedang membangun dengan pesat pada ketika ini dan kita masih tidak mengetahui apakah pula perkhidmatan yang akan menggunakannya di masa hadapan. Apabila kesemua ini diambil kira, bayaran akan dikenakan untuk ciri-ciri tambahan yang akan ditawarkan kelak.

Soalan – Di CES awal bulan ini, Samsung berkongsi mengenai penggunaan AI pada keseluruhan ekosistem produk seperti telefon pintar, TV, kereta dan juga peralatan dapur. Bagaimanakah model AI dipilih oleh Samsung supaya ia boleh ditawarkan juga pada peranti seperti siri Galaxy A dan juga mesin basuh yang pastinya tidak mempunyai kuasa memproses yang tinggi?

YJ Kim – Untuk menjalan AI pada peranti banyak proses optimasi perlu dilalukan kerana ia memerlukan kuasa perkomputeran dan memori yang tinggi. Kami juga tidak mahu ia terlalu dioptimasi sehingga mengurangkan prestasinya pula. Maka tidak semua peranti (dengan kemampuan AI) Samsung akan diberikan kemampuan AI secara terbina. Mesin basuh misalnya akan bersandar kepada kemampuan AI di awanan yang menggunakan sambungan internet. Prestasi tidak akan terjejas di sini cuma ia akan menelan kos data sahaja.

Soalan – Kenapa tiada pengumuman mengenai Bixby yang dipertingkatkan dengan kemampuan Galaxy AI?

YJ Kim – Di masa hadapan ini akan berlaku cuma pada waktu ini kemampuan AI masih belum cukup tinggi untuk diintegrasikan pada Bixby.

Soalan – Ini soalan terakhir. Apakah perkara paling sukar dihadapi ketika membangunkan AI?

YJ Kim – Perkara paling sukar? Bagi saya ialah perhatian yang perlu diberikan ketika melakukan optimasi model yang digunakan. Optimasi dilakukan supaya ia boleh dijalankan secara terbina pada peranti tetapi masih menawarkan prestasi yang baik dan tetap praktikal pada waktu yang sama. Sebagai contoh kami menawarkan ciri mengalih bahasa ketika melakukan panggilan telefon secara masa nyata (Call Assist). Majoriti model AI dibangunkan menggunakan data bahasa dalam bentuk bertulis. Tetapi model AI yang digunakan perlu dioptimasikan untuk bahasa dalam bentuk percakapan yang berbeza dengan penulisan. Ini adalah antara cabaran terbesar ketika melatih AI.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd