Carian
Samsung Beri Sebab Kenapa Ciri Galaxy AI Hanya Percuma Sehingga Penghujung 2025
January 19, 2024 Effi Saharudin

Antara topik tular di media sosial semalam ialah ciri kecerdasan buatan Galaxy AI pada siri Galaxy S24 akan hanya percuma sehingga penghujung 2025. Ramai tertanya-tanya kenapa ia tidak diumumkan ketika acara Unpacked tetapi disorokkan di bahagian bawah laman Samsung.

Kami telah mengajukan soalan ini kepada pihak Samsung dan jawapan yang diberikan oleh YJ Kim Ketua Pasukan AI di perniagaan peranti mudah alih Samsung ialah atas sebab kos. Beliau berkata teknologi AI pada waktu ini masih lagi baharu dengan kemampuan yang masih terhad. Di masa hadapan Samsung mungkin ingin menawarkan lebih banyak ciri baharu yang memerlukan implementasi model lebih terkini serta kerjasama dengan pihak ketiga seperti Google.

Kos melatih model AI baharu dan menyelenggara pelayar untuk mengakses AI di awanan adalah tinggi. Oleh sebab ini ciri Galaxy AI hanya percuma sehingga penghujung 2025. Sungguhpun begitu Samsung masih belum mempunyai sebarang idea berapakah bayaran akan dikenakan memandangkan teknologi AI sedang berkembang dengan pesat.

Model AI terbina yang digunakan Call Assist, Live Translate dan Magic Compose (dalam Google Messages) pada peranti mungkin tidak akan dikenakan bayaran yang tinggi. Tetapi perkhidmatan menulis semula teks dan menghasilkan ringkasan nota/dokumen panjang dalam Samsung Notes serta Voice Recorder mengakses kecerdasan buatan Google di awanan misalnya mungkin akan dikenakan bayaran oleh Google selepas 2025.

Hakikatnya ialah akses kepada model yang lebih berkuasa seperti GPT-4 Turbo, Copilot Pro dan Gemini Ultra sudahpun dikenakan langganan bulanan oleh OpenAI, Microsoft dan Google. Kuasa membeli di tangan pengguna untuk melanggan kepada ciri AI yang dirasakan berbaloi ataupun tidak selepas tempoh percubaan percuma tamat.

Komen