Dengan siri Samsung Galaxy S24 dilancarkan, ketiga-tiga telefon pintar mercu baharu Samsung ini secara tidak langsung menjadi telefon AI pertama tahun 2024. Setiap telefon hadir dengan model bahasa raya Samsung Gauss terus terbina. Tetapi tahukah anda yang hari ini Samsung mengumumkan model bahasa raya Google terbesar iaitu Gemini turut diintegrasikan di dalam siri Galaxy S24?

Samsung memberitahu yang mereka adalah antara pelanggan Google terawal menguji Gemini Ultra untuk model bahasa raya mengendalikan tugasan kompleks. Selain itu untuk peranti-peranti Galaxy, Gemini Pro digunakan bagi menguasakan Samsung Notes, Samsung Keyboard dan Samsung Voice Recorder serta aplikasi Gallery untuk ciri Generative Edit. Gemini Nano turut terbina untuk ciri model bahasa raya dalam-peranti. Ini akan membantu ciri AI pada Google Messages.

Bukan itu sahaja, dalam laman web Malaysia mereka – Samsung menyatakan yang ciri Galaxy AI hanya percuma sehingga hujung tahun 2025 untuk peranti Galaxy yang disokong. Terma berbeza mungkin tertakluk kepada perkhidmatan pihak ketiga. Samsung pernah dilaporkan ingin menawarkan pelan langganan untuk menggunakan perkhidmatan AI mereka, sepertimana Midjourney dan ChatGPT lakukan.

Antara ciri AI yang ditawarkan melalui Galaxy AI adalah Call Assist, Note Assist, Chat Assistant, Generative Edit, Generative Expand atau juga Circle To Search with Google. Besar kemungkinan ciri AI yang perlu dibayar adalah yang bergantung ke awanan. Menjelang tahun 2025 nanti adakah anda akan membayar untuk menggunakan Galaxy AI sehingga peranti dihentikan sokongan pada tahun 2032?