Kedengaran ura-ura Sony PlayStation 5 Pro akan dilancarkan dalam masa terdekat tetapi selama ini ia sekadar khabar angin. Tetapi The Verge kini melaporkan pembangun mula menerima dokumen daripada Sony yang mengesahkan kewujudan konsol yang dipertingkatkan kemampuannya daripada PlayStation 5 asal.
Di Sony, PlayStation 5 Pro dibangunkan menggunakan nama kod Trinity. Dalam dokumen yang sama GPU PS5 Pro adalah 45% lebih berkuasa dengan CPU pula beroperasi pada kelajuan sehingga 3.85GHz yang adalah 10% lebih pantas berbanding PS5.
Peningkatan kelajuan juga dilakukan pada memori yang beroperasi pada kelajuan 576GB/s berbanding 448GB/s iaitu hampir 30% lebih pantas. Ini adalah bagi membolehkan PS5 Pro menjalankan mod raytracing dengan lebih baik sekaligus menawarkan kemampuan grafik lebih tinggi.
Satu lagi ciri baharu PS5 Pro ialah PlayStation Spectral Super Resolution (PSSR) yang hampir sama dengan DLSS oleh NVIDIA dan FSR oleh AMD. Kemampuan meningkatkan kualiti grafik seakan sebuah PC akan akhirnya boleh dilakukan pada konsol PS5 Pro. Terdapat spekulasi PS5 Pro akan dilancarkan tahun ini tetapi Sony masih belum mengesahkannya.
Tahun lalu jualan PS5 tidak mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Sony. PS5 Pro mungkin adalah langkah Sony untuk meningkatkan semula jualan konsol mereka ini.