Carian
Ulasan Infinix Note 40 Pro – Peranti Asas Yang Seakan Mercu
April 26, 2024 Fahim Zahar

Beberapa tahun lalu OnePlus dikenali ramai kerana menghasilkan “pembunuh peranti mercu”. Kemudian kehadiran Poco F1 mengubah pasaran peranti kategori ini dengan mewujudkan pula peranti kelas pertengahan premium yang cuba mencabar peranti mercu. Terbaru oleh Transsion adalah Infinix Note 40 Pro, sebuah telefon pintar kelas asas yang padat dengan ciri seakan sebuah peranti mercu. Ia dijual pada harga RM1098 dan adakah ia berbaloi untuk dibeli?

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Infinix Note 40 Pro
Skrin6.78″ AMOLED, 1080 x 2436 FHD+,
120Hz, 1300 nits
PemprosesDimensity 7020 (6nm)

2x 2.2 GHz Cortex-A78
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikIMG BXM-8-256/Hyper Engine
RAM8GB LPDDR4X
8GB Maya
Storan256GB UFS 2.2
Kamera Utama108MP, f/1.7, OIS – Sudut Lebar
2MP, f/2.4
2MP, f/2.4

Film, AI Cam, Super Night
Video 2K 30 FPS
Kamera Depan32MP, f/2.2
Bateri5000mAh
Pengecasan Berayar 45W
Sim/TelefoniDwi-SIM 5G
AudioSpeaker Stereo JBL
WiFi, NFC, BluetoothWiFi 5, Ya, Bluetooh,
Infra MerahYa
Kalis AirIP53
Sistem ImbasanCap Jari Bawah Skrin
Harga JualanVintage Green/Titan Gold
Berharga RM1,098 (8/256 GB)

Sekali pandang, Infinix Note 40 Pro memang kelihatan seakan sebuah peranti mercu. Skrin AMOLED FHD+ 120Hz melengkung, tubuh pula nipis dengan gabungan warna hijau dan emas. Terdapat kemasan kulit vegan di belakang dengan bonggol kamera besar yang rata. Setiap bahagian peranti diberikan kemasan seakan sebuah peranti premium.

Setiap butang kuasa dan butang laras suara sedap ditekan, peranti menyokong perlindungan kalis percikan IP53, mempunyai pemancar infra merah, menjalankan XOS 14 berasaskan Android 14 yang lengkap dengan ciri AI generatif dan juga sistem pengecasan unik dengan cip khas tersendiri untuk menjamin kesihatan bateri jangka masa panjang.

SKRIN

Sejak ke belakangan ini saya tidak lagi menggemari skrin melengkung, kerana ia mengganggu pengalaman penggunaan skrin. Akan tetapi dengan sokongan 120Hz yang baik dapat dialami, kualiti warna yang cantik dan skrin yang cukup terang untuk penggunaan di dalam rumah menimbulkan satu persoalan, Note 40 Pro ini sebenarnya peranti apa?

Ia tidak menyokong HDR pada Netflix, tetapi menonton filem masih memberi pengalaman yang memuaskan dan sedap sahaja mata memandang. Jika XOS 14 ada ciri skrin yang menggunakan AI seperti peranti Oppo atau OnePlus yang boleh mencantikkan lagi kualiti video, pasti peranti ini akan menjadi peranti kelas asas premium yang sempurna.

BIOMETRI

Sistem biometri adalah jenis pengimbas cap jari bawah skrin dan imbasan wajah menggunakan kamera swafoto. Imbasan cap jari adalah sedikit perlahan tetapi imbasan wajah adalah mengejutkan kerana ia agak pantas walaupun digunakan pada waktu malam.

PENGGUNAAN – XOS 14, ANDROID 14 dan AI GENERATIF

Jika anda pernah mengambil tahu peranti mereka yang sebelum ini iaitu Infinix GT10 Pro, ia adalah peranti gaming kelas asas yang menjalankan XOS yang bebas daripada aplikasi gendut. Pada Note 40 Pro ini XOS 14 yang digunakan memberikan pengalaman penggunaan adalah lebih kurang sama. Yang membezakan adalah kehadiran aplikasi gendut yang ringan kerana XOS ini bukan edisi GT.

Menggunakan XOS 14 mengingatkan saya kepada Funtouch OS oleh vivo kerana banyak elemen rekaan antaramuka tidak mengikut rekaan Material You. Elemen rekaan yang tersendiri digunakan adalah seakan Huawei suatu ketika dahulu.

Penggunaan harian XOS 14 pada Note 40 Pro adalah seakan menggunakan peranti dengan cip Helio G99 tetapi lebih berkuasa. Ciri AI dalam peranti pun bergantung kepada Internet dan bermain permua pun perlu menggunakan mod gaming untuk pengalaman yang lebih lancar. Tetapi untuk sebuah peranti kelas asas, XOS 14 adalah cukup baik dan sukar untuk saya mengadu berlebihan.

Berikut adalah ciri AI yang disediakan dalam Note 40 Pro dan juga ciri menarik lain yang diberikan;

  • Selective Translation
    • Pilih teks dan terjemah.
  • Voice Translation
    • Seakan Interpreter pada siri Samsung Galaxy S24.
  • Chat Translation
    • Seakan Chat Assist dalam Galaxy AI pada peranti terpilih Samsung.
  • Image Translation
    • Seakan Circle to Search tetapi menggunakan sistem tersendiri.
  • Folax dan PAL
    • Sebagai pembantu maya dengan ChatGPT 3.5 terbina.
  • Carian AI pada album
    • Hanya cari dengan kata kunci seperti “cat running”, “sunset at beach”.
  • Halo Lighting
    • Lampu RGB yang bergerak mengikut aktiviti peranti seperti notifikasi, pengecasan, muzik dan banyak lagi.
  • Dynamic Bar
    • Iterasi Dynamic Island untuk nyahkunci wajah, pengecasan, panggilan telefon dan rakaman suara.

PRESTASI DAN PENANDA ARAS

Infinix Note 40 Pro tidak layak dikategorikan sebagai peranti kelas pertengahan kerana ujian penanda aras memerlukan aplikasi AnTuTu 3D Lite yang selalu digunakan oleh peranti kelas asas. Ujian AnTuTu memaparkan skor yang rendah, ujian Wild Life Extreme yang biasa dilakukan pada 3DMark tidak disokong dan peranti mengambil banyak yang lama untuk melengkapkan ujian Geekbench 6.

Cip Dimensity 7020 sebenarnya adalah Dimensity 930 yang dilancarkan pada tahun 2022 dengan nama baharu. Peranti yang menggunakan cip ini pun banyak berada dalam kelas asas. Peranti yang sesuai untuk kami bandingkan adalah realme C67 dengan cip Snapdragon 685 atau juga Tecno Spark 20 Pro dengan cip Helio G99.

Antutu 3D

  • Infinix Note 40 Pro – 450,320
  • realme C67 – 304,413
  • Tecno Spark 20 Pro – 420,193

Geekbench 6

  • Infinix Note 40 Pro – 1120/3338
  • realme C67  – 470/1530
  • Tecno Spark 20 Pro – 706/1872

3D Mark Wildlife Extreme

  • Infinix Note 40 Pro – Tidak boleh diuji
  • realme C67 – 133
  • Tecno Spark 20 Pro – 345

Amat aneh sekali apabila penggunaan biasa peranti menjadi lengah masa dan kadangkala boleh menjadi suam. Tetapi apabila bermain permua berat seperti COD Mobile peranti tiada masalah untuk beroperasi pada kadar yang lancar sehingga boleh selesai satu sesi permainan dengan pengalaman yang memuaskan asalkan pada tetapan sederhana.

KAMERA

Peranti kelas asas akan mempunyai kualiti kamera kelas asas. Note 40 Pro tidak dilengkapi dengan kamera zum atau sudut ultra lebar. Sensor paling berguna adalah 108MP sudut lebar dan dua lagi sensor 2MP adalah sekadar gimik semata-mata. Kamera swafoto pula adalah 32MP yang baik sahaja. Kualiti kamera adalah sederhana dan boleh diterima. Warna pada gambar kelihatan baik serta sistem fokus yang cukup pantas. Tetapi butiran sukar untuk dipelihara, mod potret tidak kemas, hasil zum agak pecah dan walaupun ada OIS gambar waktu malam kelihatan kusam dan lembut.

Zum digital 3x tidak mampu memelihara butiran dengan baik.
Nampak cantik, tetapi apabila diteliti langit tidak kelihatan dan resolusi seakan terlampau rendah.
Kamera swafoto 32MP mampu memberikan hasil potret yang menarik.
Cubaan mod malam yang baik, tetapi masih ada masalah pendedahan cahaya yang melampau.
Pencahayaan di dalam bangunan nampak baik berbanding yang semula jadi.
Gambar jarak dekat di bawah lampu rumah terang, boleh fokus dengan pantas.
Gambar manusia tidak konsisten kualitinya jika pencahayaan di dalam bangunan.
Gambar jarak dekat boleh memberi fokus yang baik, tetapi tidak konsisten.

Untuk rakaman video, saya teringat akan rakaman menggunakan peranti kelas asas yang berharga sekitar RM500. Ia tidak cantik untuk media sosial dan ada banyak masalah tersangkut-sangkut apabila rakaman resolusi tinggi dilakukan.

AUDIO

Infinix Note 40 Pro dengan bangga mempromosikan speaker stereo yang dikuasakan oleh JBL. Tetapi ia adalah sekadar speaker stereo biasa yang selalu didengari pada peranti dalam kelas ini. Ia perlahan, dengan tahap kekuatan audio tidak konsisten. Ia juga tidak seimbang dan ia tiada butiran. Kualiti audio seakan mendatar membuatkan kami tidak dapat mendengar apakah sistem JBL yang digunakan di sini?

BATERI DAN PENGECASAN

Siri Infinix Note 40 menggunakan sistem pengecasan All-Round FastCharge 2.0. Pengecasan berwayar adalah 45W yang mengambil masa sekitar 90 minit mengecas bateri 5000 mAh sehingga penuh. Ketahanan bateri pula adalah sekitar 6.5 jam SOT untuk penggunaan ringan dan 4-5 jam SOT untuk penggunaan berat. Bonus tambahan, peranti ini menyokong pengecasan nirwayar 7.5W dan pengecasan nirwayar berbalik 5W. Jika anda rasa itu tidak cukup, Infinix turut membawakan sokongan MagCharge seakan MagSafe oleh Apple.

Note 40 Pro menggunakan cip Cheetah X1 yang dibangunkan mereka untuk mengendalikan semua ciri pengecasan ini. MagPower pula adalah aksesori powerbank pengecasan nirwayar berasaskan Qi. Gunakan kerangka khas yang diberikan secara percuma, ia akan berfungsi seakan sebuah iPhone. Malah ia turut menggunakan piawaian MFi kerana pada iPhone 15 Plus saya memaparkan animasi MagSafe. MagPower turut boleh menjadi powerbank berkuasa 20W.

PERBANDINGAN DENGAN PESAING

Infinix Note 40 Prorealme C67Tecno Spark 20 Pro
6.78″ AMOLED, 1080 x 2436,
FHD+, 120Hz
6.72″ TFT LCD, FHD+, 90HZ6.78″ IPS LCD, FHD+, 120HZ
Dimensity 7020 (6nm)

2x 2.2 GHz Cortex-A78
6x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 685 (6nm)

4x 2.8 GHz Cortex-A73
4x 1.9 GHz Cortex-A55
Helio G99 (6nm)

2 X 2.2 GHz Cortex-A76
6 X 2.0 GHz Cortex-A55
IMG BXM-8-256/Hyper EngineAdreno 610Mali-G57 MC2
8GB LPDDR4X
8GB Maya
8GB LPDDR4X
8GB Maya
8/12 GB LPDDR4X
8/9 GB Maya
256GB UFS 2.2128/256 GB UFS 2.2256 GB UFS 2.2
Kamera Utama
108MP, f/1.7, OIS Sudut Lebar
2MP, f/2.4
2MP, f/2.4
Kamera Utama
108MP, f/1.7, Sudut Lebar
2MP, f/2.4
Kamera Utama
108MP, f/1.8, Sudut Lebar
2MP
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.2
Kamera Hadapan
8 MP, f/2.1
Kamera Hadapan
32 MP, f/2.2
IP53IP54IP53
Tiada bicu audioAda bicu audioAda bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh (Berwayar 45W)5000 mAh (Berwayar 33W)5000 mAh (Berwayar 33W)
RM1,098 (8/256 GB)RM729 (8/128 GB)
RM799 (8/256 GB)
RM 699 (8/256 GB)
RM 799 (12/256 GB)

APA ADA DALAM KOTAK?

Tidak kira yang lebih mahal atau murah, setiap pembelian peranti ini anda akan menerima;

  • 1x Infinix Note 40 Pro
  • 1x Kerangka MagCharge yang premium
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Pengecas USB-A All-Round FastCharge 2.0 versi 45W
  • 1x Kaca pelindung terbaja (tempered)
  • 1x Set pelekat Infinix
  • 1x Buku panduan dan keselamatan

KESIMPULAN

Walaupun Note 40 Pro ini tidak cukup pantas, wujud sedikit lengah masa dan kamera tidak begitu memuaskan – apa yang Infinix tawarkan pada telefon pintar kelas asas ini sebenarnya cukup mantap. Ini adalah kali pertama saya menggunakan peranti kelas asas yang padat dengan ciri seakan sebuah peranti mercu. Paling mengejutkan adalah penawaran pelbagai kaedah pengecasan dan ekosistem All-Round FastCharge 2.0 yang padu.

Note 40 Pro bukan peranti mercu, bukan peranti kelas pertengahan, bukan peranti kelas asas tetapi adalah di bawah kategorinya tersendiri iaitu “peranti kelas asas premium”. Dengan harga jualan RM1098, pada hemat saya adalah peranti yang boleh dibeli bagi mereka yang inginkan ciri tambahan yang selama ini tidak wujud pada peranti kelas ini. Saya juga menyarankannya untuk anak jika ibu bapa ingin memberi anak mereka pengalaman menggunakan teknologi terkini tanpa menghabiskan wang yang banyak.

PRO

  • Rekaan yang premium seakan peranti mercu.
  • Skrin yang cukup baik dan pantas.
  • Jenama baharu tetapi XOS terasa cukup matang.
  • Peranti murah pun ada banyak ciri AI generatif.
  • Ada pelbagai kaedah pengecasan yang menarik.
  • Bateri yang sangat tahan lama.
  • Harga yang sangat berbaloi.

KONTRA

  • Prestasi tidak konsisten.
  • Skrin melengkung bukan lagi nilai premium untuk sesebuah peranti.
  • Kamera tidak memuaskan kerana hanya satu sensor utama yang berguna.
  • Speaker JBL seakan gimik pemasaran kerana tidak enak dan seimbang.
Komen