Tahun 2024 merupakan tahun dimana Intel akhirnya memperkenalkan kategori PC baru yang dinamakan “AI PC” dengan penawaran komputer desktop dan komputer riba dengan kuasa pemprosesan AI terbina. Walaupun begitu, mungkin tidak semua orang mahukan komputer riba sebegini, khususnya apabila anda hanya mahukan sebuah mesin yang boleh digunakan untuk tujuan produktiviti asas dan riadah harian.

Jika anda memerlukan sebuah komputer riba sebegini, Honor telah mengemaskini penawaran komputer riba mereka melalui Honor MagicBook X 16.
Spesifikasi Dan Rekaan
Honor MagicBook X 16 2024 | |
---|---|
Skrin | 16″ IPS LCD 1080P (1920×1200 piksel), 60Hz Nisbah Aspek 16:10 |
Pemproses | Intel Core i5-12450H |
Cip | Base 2.2GHz; Up to 4.4GHz |
Cip Grafik | Intel UHD Graphics |
RAM | 8GB Dwi-Saluran DDR5 |
Muatan Dalaman | 512GB SSD PCIe 4.0 |
Kamera Utama | 720P HD |
I/O | 1 X USB-C 3.2 Gen2 2 X USB-A 3.2 Gen1 1 X HDMI Bicu audio 3.5mm |
Bateri | 48Whr Pengecasan Pantas 65W |
SIM/Telefoni | Tiada |
WiFi | 802.11a/b/g/n/ac/ax |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Tiada |
Harga Jualan | RM2999 |
Jujur saya berkata bahawa saya perlu menyemak balik beberapa artikel yang ditulis sebelum ini kerana dari segi spesifikasi, komponen yang digunakan pada Honor MagicBook X 16 ini adalah sama seperti apa yang digunakan pada model yang dilancarkan pada penghujung tahun 2022.

Model yang dihantar kepada kami memperlihatkan spesifikasi yang hampir sama seperti model lama tersebut. CPU Intel Core i5-12450H digunakan, dan dipadankan dengan memori DDR4 sebanyak 8GB dan storan dalaman SSD bersaiz 512GB. Perbezaan utama ialah MagicBook X16 kini menggunakan cip pemprosesan Intel Core-H berbanding dengan Intel Core-U sebelum ini.

Sama seperti model sebelum ini juga, ia hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 16 inci dengan nisbah paparan 16:10 pada resolusi 1920×1200 dan juga nilai kecerahan 300 nit. Honor menggunakan paparan FullView Display mereka yang tampil dengan bingkai nipis di tiga bahagian sisinya dan mempunyai sudut pandangan yang cukup lebar.
Rekaan komputer riba ini juga sama menyerupai model sebelum ini, dimana ia diperbuat daripada logam aluminium yang memberinya berat seringan 1.68kg sahaja. Bahagian-bahagian sisi komputer riba ini diletakkan tiga palam USB 3.2 Type-A, satu palam USB 3.2 Type-C, satu palam HDMI 1.4b dan satu bicu audio 3.5mm.

Sayangnya tidak seperti model sebelum ini, satu perbezaan utama yang dapat diperlihatkan ialah Honor MagicBook X 16 baru ini tidak mempunyai pengimbas cap jari pada butang kuasa seperti sebelum ini. Sayangnya, dengan kamera web terbina, komputer riba ini juga tidak menyokong teknologi imbasan wajah, jadi satu-satunya cara untuk log masuk kedalam komputer riba anda ialah dengan menggunakan kata laluan.
Pengalaman Pengguna
Dari segi kemampuan perkomputeran, Honor MagicBook X 16 ini adalah sebuah komputer riba yang sesuai digunakan untuk tugasan asas harian seperti menyunting dokumen dan gambar, melayari laman web, menonton video-video di YouTube dan sebagainya.

Malah, sebagai sebuah komputer riba produktiviti untuk para pelajar sekolah dan juga institusi pengajian yang tinggi, komputer riba ini boleh saya katakan akan memenuhi keperluan anak-anak anda, dan dengan saiz paparan yang besar pada 16 inci, anda tidak perlu risau mengenai ketiadaan ruang paparan untuk memperlihatkan beberapa program dan tugas sekaligus.
Pembesar suara yang terbina juga cukup lantang sekali, walaupun bagi saya, mungkin kualiti bassnya sedikit kurang khususnya untuk memainkan lagu. Untuk tontonan video, kualiti audio dialog dan bunyi-bunyi aksi adalah memadai.

Jika anda memiliki peranti pintar ataupun tablet Honor, seperti Honor Pad 9 5G ataupun Honor Magic6 Pro, anda boleh memindahkan data dari dan ke peranti-peranti ini menggunakan komputer riba ini melalui ciri Honor Connect. Ia juga membolehkan anda melihat notifikasi peranti pada komputer riba anda, dan anda boleh menerima panggilan terus menerusi komputer riba anda.
Akan tetapi sayangnya komputer riba ini tampil dengan beberapa isu yang bagi saya membuatkan komputer riba ini sebuah peranti yang sedikit sukar untuk saya syorkan kepada orang ramai. Pertama ialah pengurangan daripada segi ciri apabila dibandingkan dengan model yang dijual pada tahun 2022.

Ya, secara teknikalnya CPU yang digunakan sekarang adalah sebuah penambah-baikan, tetapi penggunaan CPU Intel Core-H berbanding dengan Core-U sebelum ini juga dipadangkan dengan bateri yang lebih kecil. Jika komputer riba yang dijual dua tahun dahulu hadir dengan bateri 60Wh, model kemas kini ini hadir dengan bateri yang lebih kecil pada 48Whr.
Ini menjadikan jangka hayat bateri komputer riba ini agak rendah pada sekitar 5 jam dengan pengecasan yang penuh. Akan tetapi, pengecasan untuk bateri komputer riba ini juga agak pantas, jadi jika anda membawa pengecas 65W ataupun 100W anda sendiri, ini mungkin bukan satu isu yang serius.
Lagi kekurangan pada komputer riba Magicbook X 16 baru ini ialah ketiadaan sokongan untuk pengimbas cap jari ataupun wajah Microsoft Hello padanya. Model 2022 mempunyai kedua-dua ciri ini, jadi ia adalah agak aneh bahawa model yang lebih baru ini tidak mempunyainya.

Bukan itu sahaja, tidak seperti model yang dilancarkan dua tahun dahulu, komputer riba ini juga tidak mempunyai ciri pencahayaan latar (backlighting) pada papan kekuncinya, iaitu satu lagi ciri yang dibuang pada model baru ini.
Bagi saya, dua kekurangan yang cukup sukar untuk diterima adalah ketiadaan sokongan imbasan cap jari dan juga jangka hayat bateri yang lebih rendah. Imbasan cap jari bagi saya adalah satu ciri yang wajib hadir pada semua komputer riba sekarang kerana ia memudahkan log masuk ke dalam akaun komputer tanpa perlu memasukkan kata laluan. Untuk saya yang sering mengunci komputer riba di pejabat walaupun untuk mengambil air minuman, ia adalah sesuatu yang saya cukup pentingkan sekali.
Penanda-aras
Kami menggunakan penanda-aras PCMark dan juga CrystalDiskMark untuk menguji prestasi pemprosesan dan bacaan/penulisan data komputer riba ini.
PCMark

CrystalDiskMark

Ada Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang ditawarkan di dalam kotak apabila anda membeli komputer riba Honor MagicBook X 16:
- Honor MagicBook X 16 x1
- Pengecas USB Type-C x1
- Kabel pengecas USB Type-C x1
- Manual dan waranti x1
Penutup
Honor Magicbook X 16 dengan kemas kini CPU siri Intel Core-H generasi ke-12 tiada masalah dari segi melakukan tugasan produktiviti harian tidak kira untuk kegunaan di rumah, sekolah ataupun pejabat.

Secara teknikalnya, ya, CPU ini menghampiri usia dua tahun, dan dengan ketibaan CPU-CPU yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan, ia agak aneh untuk Honor menggunakan CPU yang tidak begitu berkuasa untuk kegunaan hari ini. Tetapi pada harga yang ditawarkan, pada pendapat saya komputer riba ini sesuai digunakan untuk tujuan kelas atas talian dan juga tugasan pejabat yang tidak begitu rumit.
Pro:
- Harga mampu milik untuk komputer dengan CPU Intel Core-H
- Rangka tahan lasak
- Paparan skrin besar
- Prestasi memuaskan bergantung kepada tujuan
- Sokongan Honor Connect dengan peranti pintar dan tablet Honor
Kontra:
- Ciri-ciri seperti imbasan cap jari dan pencahayaan latar papan kekunci tidak ditawarkan
- Penggunaan CPU yang dilancarkan dua tahun lepas
- Saiz bateri lebih kecil dan jangka hayat lebih pendek berbanding model dua tahun lepas
