Carian
Siri Huawei Pura70 Menggunakan Cip Baharu Kirin 9010
April 19, 2024 Effi Saharudin

Semalam siri Huawei Pura70 telah dilancarkan secara mengejut dengan sekali lagi spesifikasi pemprosesnya tidak disenaraikan oleh Huawei. Sehari selepas dilancarkan, maklumat mengenai cip akhirnya muncul menerusi laporan HuaweiCentral yang mengesahkan penggunaan cip baharu Kirin 9010.

Kirin 9010 adalah penambahbaikan kepada Kirin 9000s yang digunakan pada siri Mate 60 tahun lalu. Hanya model Pura70 Ultra, Pura70 Pro+ dan Pura70 Pro menggunakan cip ini. Pura70 pula menggunakan Kirin 9000s. Kirin 9010 mengekalkan konfigurasi CPU 12 teras dengan 4 teras CPU kuasa tinggi, 6 teras CPU kuasa pertengahan dan 2 teras CPU penjimatan tenaga yang dipadankan kepada GPU Maleoon 910. Kedua-dua Kirin 9000s dan 9010 menggunakan GPU yang sama.

Markah penanda aras Geekbench 6 pula ialah 1442 markah untuk satu teras dan 4471 untuk multi teras. Ia menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 9000s. Oleh itu ia besar kemungkinan masih lagi dihasilkan menggunakan teknologi 7nm. Skor yang dicatatkan adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan Snapdragon 8 Gen 2 (1991/5221) tetapi lebih baik berbanding Dimensity 9200+ (1284/3520).

Masih belum diketahui sama ada siri Pur70 akan dipasarkan ke luar peringkat global pada waktu ini kerana Mate60 tahun lalu hanya untuk pasaran China.

Komen