Carian
Siri CPU Qualcomm Snapdragon X Dijangka Akan Dilancarkan Pada 24 April Ini
April 19, 2024 Nazrin

Sejak pengenalannya pada penghujung tahun lepas, banyak maklumat-maklumat yang tertiris mengenai cip pemprosesan terbaharu daripada Qualcomm, iaitu Qualcomm Snapdragon X Elite. Daripada butiran teras, ke pelbagai jenis nama model dan juga rekaan peranti, ia dilihat sebagai pengumuman cip pemprosesan terbesar sejak pengenalan siri cip Apple Silicon yang menguasai komputer riba siri Mac.

Terkini, akaun Twitter/X Snapdragon telah berkicau mengenai suatu pengumuman yang akan dilakukan pada 24 April ini, dengan sebuah video ringkas yang memperlihatkan tanda X. Ia dijangka bahawa pengumuman ini adalah mengenai cip pemprosesan siri Snapdragon X yang banyak diperkatakan kebelakangan ini.

Qualcomm dijangka akan memperkenalkan beberapa siri cip pemprosesan dibawah jenama ini, seperti Qualcomm Snapdragon X Elite dan sebagainya, dan konfigurasi-konfigurasi ini akan tampil bukan sahaja dengan kelajuan pemprosesan yang berbeza, tetapi juga jumlah dan konfigurasi teras yang berbeza.

Setakat ini, ia diperlihatkan bahawa rekaan komputer riba Lenovo dengan cip pemprosesan ini telah tertiris, dan kami jangkakan bahawa Qualcomm sendiri akan memperkenalkan lebih banyak jenama yang akan menggunakan cip Snapdragon X untuk menguasakan komputer riba mereka juga tidak lama lagi.

Komen