Google melakukan rombakan besar pada organisasi mereka pagi tadi dengan tujuan untuk memberikan lebih banyak tumpuan kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI). Perubahan pertama ialah bahagian pembangunan perkakasan digabungkan dengan bahagian pembangunan perisian di bawah pasukan “Platforms and Devices”.

Platform and Devices akan membangunkan semua perkakasan Pixel serta perisian Android, Chrome, ChromeOS, Photos dan banyak lagi. Pasukan ini akan diketuai oleh Rock Osterloh yang sebelum ini memegang jawatan sebagai naib presiden kanan bahagian perkakasan dan perkhidmatan di Google. Hiroshi Lockheimer yang sebelum ini mengetuai pembangunan perisian seperti Android, Chrome, dan ChromeOS ditugaskan ke bahagian lain di Google.
Penggabungan bahagian perkakasan dan perisian ini dilakukan bagi mempercepatkan integrasi AI pada pelbagai produk yang akan dihasilkan kelak. Tahun ini melihat Gemini Nano diberikan pada peranti Pixel yang membolehkan beberapa kemampuan AI dijalankan terus pada peranti Pixel dan juga Galaxy.
Seperti Microsoft dan Meta, Google melakukan pelaburan besar dan mengubah hala tuju syarikat ke arah pembangunan AI.