Carian
Ulasan Pemanduan Smart #1 Brabus – Alah Membeli Bagus Memakai
April 27, 2024 Ikhwan Nazri

Pada bulan puasa yang lalu saya dipinjamkan Smart #1 Brabus selama 4 hari. Berbeza sekali dengan sesi pemanduan media yang dikendalikan Smart Malaysia pada Januari lalu ke Pulau Pinang, kali ini saya dapat menguji Smart #1 Brabus mengikut citarasa pengujian tersendiri. 

Smart #1 Brabus merupakan variasi paling berkuasa dan oleh itu juga paling mahal dalam siri Smart #1 yang dibawa masuk oleh Pro-NET, iaitu anak syarikat Proton yang memfokuskan kepada kenderaan tenaga baharu (New Energy Vehicle).  Smart #1 Brabus ini dijual pada harga RM 249,000 dengan dua motor elektrik di bahagian depan dan belakang, menjadikan pemanduan keseluruhan tayar dan memberikan lebih kawalan serta pecutan untuk pemandu. 

Smart #1 Brabus
Mod PemanduanEco, Comfort, Sport, Brabus
Jarak Perjalanan (WLTP)400km
Pecutan0-100 km/j – 3.9 saat
Kelajuan maksimum180 km/j (dihadkan)
Kapasiti Bateri66 kWh
Kelajuan Pengecasan
AC 22kW 0-100%: ~ 3 jam 45 minit
DC 100 kW 10-80%: ~ 30 minit
Tempat duduk5
Kuasa Maksimum428 Ps
Tork Maksimum543 Nm
Fungsi LainSmart Pilot Assist, Lane Keep Assist, HUD, Moonroof
Harga JualanRM 249,000

Rekaan Luaran dan Dalaman

Seperti namanya yang diberikan sentuhan Brabus, ia boleh jelas dibezakan dengan Smart #1 yang lain menerusi bumbung merah dan juga pencengkam brek berwarna merah. Namun unit yang dipandu saya adalah unit ujian dengan bumbung berwarna hitam. Selain dari bumbung, terdapat juga label Brabus di bahagian hadapan, belakang serta tepi walaupun diletakkan di bawah aras mata. Jika itu tidak mencukupi untuk anda, apabila anda masuk ke dalam, anda akan ditegur-sapa oleh paparan antaramuka yang akan memulakan operasi dengan label Brabus.

Selain dari itu, tali pinggang keledar, kusyen kepala, dan beberapa garis kemasan turut hadir dalam warna merah, memberikan identiti kepada kenderaan anda yang mempunyai perbezaan harga sebanyak RM 30,000 dengan Smart #1 Premium. Namun sekali pandang, keseluruhan Smart #1 ini boleh dikatakan hampir sekali seperti Mini Cooper, dengan lampu lebih cantik, elegan, dan menarik kerana menerima sentuhan rekaan Mercedes. 

Smart yang merupakan usahasama antara Mercedes dan Geely, membawakan rekaan dan kualiti daripada kedua-dua gergasi automotif. Malah sentuhan Mercedes boleh dilihat pada rekaan lampu hadapan dan belakang, ketiadaan sebarang garis atau sudut tajam di keseluruhan badan serta posisi butang-butang pada stereng hampir menyamai Mercedes EQB. Geely pula menyediakan platform kereta elektrik SEA2, iaitu platform modular untuk kenderaan elektrik, yang turut akan digunakan untuk Smart #3, Volvo EX30 dan juga Zeekr X. 

Di bahagian hadapan, terdapatnya “frunk” yang boleh memuatkan komponen ringkas seperti pam angin tayar, ataupun palam V2L (Vehicle-to-Load) tetapi ia tidak boleh memuatkan kabel pengecasan. Sebaliknya di ruangan penyimpanan belakang, ia mempunyai kapasiti yang boleh saya katakan kecil, iaitu sebesar 313 liter. Pada saiz ini, ia mungkin saiz yang tidak cukup besar sekiranya anda mempunyai anak dan perlu membawa kereta sorong. Ruang simpanan ini mungkin cukup untuk pengembaraan selama 3-4 hari untuk dua orang, namun mungkin tidak cukup untuk pengembaraan sekeluarga selama 6 hari.

Sebagai pemandu atau penumpang hadapan, kedudukan butang di papan pemuka memudahkan pelbagai fungsi diakses. Antaranya termasuklah kawalan pendingin hawa secara individu, membolehkan suhu ditetapkan berasingan, dan juga terdapatnya kipas pengudaraan pada tempat duduk. Fungsi ini membolehkan anda tidak rasa berpeluh walaupun di siang hari walaupun dengan bumbung ‘moonroof’ dibuka bagi membolehkan cahaya matahari menyinari ruang dalaman.

Paparan LCD bersaiz 12.8-inci pula sangat berfungsi untuk semua tetapan dan juga maklumat. Pengguna akan kerap menggunakan paparan ini bagi melihat fungsi ramalan perjalanan berasaskan kapasiti bateri yang pastinya sangat membantu pemandu dalam merancang perjalanan dan juga mencari pengecas berhampiran. Integrasi dengan penyedia pengecas EV tempatan ini turut membolehkan pelbagai maklumat, termasuklah kos pengecasan dipaparkan terus pada paparan ini.

Di bahagian penumpang, terdapatnya port USB-C dan USB-A bagi tujuan pengecasan, dan juga saluran penghawa dingin bagi memastikan penumpang belakang selesa. Dalam sesi ujian ini juga, penumpang di bahagian belakang menyatakan sistem suspensi belakang dirasakan kurang selesa. Alunan dan bonggol pada jalan dapat dirasai. Sebagai pemandu, saya tidak berasa perkara tetapi ini juga isu sama yang saya sedari ketika sesi pemanduan pertama ke Pulau Pinang sebelum ini.

Dari segi pengecasan, Smart #1 Brabus yang hadir di pasaran Malaysia dilengkapi pengecas AC 22kW membolehkan pengecasan 10-80% sepantas 3 jam, atau pengecasan penuh sekitar 3 jam 30 minit, dan pengecas DC 150kW yang boleh mengecas 20-80% sepantas 30 minit. Salah satu perkara yang saya suka adalah dengan pengecas AC 22kW, saya yang tinggal di pangsapuri tanpa pengecas, dapat mengecas dengan lebih singkat sewaktu berehat atau sahur.

Malah sewaktu saya bersahur di Pelita Puchong, terdapat pengecas Chargesini berhampiran yang memberikan kuasa pengecasan 22kW AC. Untuk 30 minit, saya mengecas sebanyak 10.2 kWh / bersamaan 10% dan telah naik dari 52% ke 62% dan ini merupakan satu kelajuan yang sangat baik, dan pengecas 22kW juga boleh dipasang dengan rumah yang menyokong bekalan elektrik 3-fasa (3-phase).

Prestasi & Pengalaman Pemanduan

Masuk sahaja ke kokpit pemandu, satu perkara yang saya sangat suka adalah kerusi pemandu yang akan digerakkan bagi memudahkan pemandu keluar dan masuk. Pemandu hanya perlu menekan brek dan kerusi pemandu akan kembali kepada posisi yang telahpun ditetapkan sebelum ini. Untuk memulakan pemanduan, tiada sebarang butang pemula perlu ditekan. Sebaliknya pemandu boleh terus menetapkan tuil ‘gear’ kepada mod pemanduan, dan kereta ini akan terus meluncur pantas. 

Berbeza dengan Smart #1 yang lain, Smart #1 Brabus memberikan 4 mod pemanduan, iaitu Eco, Comfort, Sport dan juga Brabus. Mod pemanduan Brabus memberikan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.9 saat dan ini jelas sekali dapat dicapai. Malah ia turut mempunyai fungsi untuk memberikan bunyi rekaan bagi menambah pengalaman pemanduan namun bunyi ini hanya di bahagian dalaman, dan tidak dapat didengar dari luar. Bagi mereka yang merindui deruman enjin, bunyi rekaan ini memberikan pengalaman seakan memandu kereta ICE (petrol).

Dengan kuasa yang lebih kuat dihasilkan oleh dua motor, jarak perjalanan Smart #1 Brabus juga adalah sedikit kurang dari Smart #1 Premium iaitu hanya sekitar 400km WLTP meskipun mempunyai saiz bateri yang sama iaitu 66 kWh. Namun begitu Smart #1 agak ‘pintar’ dimana ia pengiraan jaraknya yang saya rasakan bersifat konservatif, atau lebih tepat dan sepanjang penggunaan, saya tidak merasakan sebarang kegusaran perjalanan. 

Untuk hari pertama saya telah membawa Smart #1 Brabus ini ke Changkat Jering, menerusi Lebuhraya Pantai Barat (WCE), dan pada hari kedua telah membawa kereta elektrik ini ke Genting Highland bagi mencuba sendiri penjanaan semula tenaga. Perjalanan ke Changkat Jering kali ini saya telah memastikan saya mempunyai kuasa sekitar 79% sebelum berhenti di Hentian Sebelah Behrang menghala Utara bagi mengecas. Sekiranya saya dapat mengecas di Hentian Sebelah Behrang ini, saya boleh menggunakan WCE menghala ke Changkat Jering, dan jika tidak, saya perlu terus ke Changkat Jering, dan mengecas sebelum memasuki WCE sebelum menghala ke Selatan. 

Namun buat kali keduanya saya tidak berjaya mengecas di Gentari Hentian Sebelah Behrang kerana walaupun lampu penanda menunjukkan dua palang, namun ia memaparkan 5kW dan pada pemikiran saya, pengecasan DC tersebut hanya mampu memberikan 5kW. Hanya selepas sesi pemanduan ini, saya diberitahu oleh pihak Gentari yang mana untuk pengecasan modular seperti di Behrang, nilai 5kW yang dipaparkan adalah nilai sekiranya pengecasan berada dalam status idle. 

Dengan berbaki 50% dari Behrang, saya sampai di Sunway Xpark Tambun dengan tenaga berbaki 16% dan saya telah memandu dengan agak laju tanpa banyak tenaga janaan semula. Untuk 222.1km dari 79%-16%, saya telah menggunakan 44 kWh, dan hanya menjana semula 6 kWh dengan purata penggunaan tenaga 17.7 kWh. Di lokasi ini, terdapatnya pengecas Gentari 100 kW oleh Kempower, dan pengecasan dari 16%-90% telah mengambil masa selama 51 minit dengan tenaga yang dicas sebanyak 53 kWh. 

Seperkara yang saya dapat pastikan adalah Smart #1 baik model Brabus ataupun Premium, akan dapat mengecas pantas daripadai 20-80% sekitar 30 minit hasil dari keupayaan pengecas DC yang menyokong sehingga 150 kW, dan mungkin 20 minit lagi untuk mencapai 90%, namun akan mengambil masa 30 minit seterusnya untuk 10% baki terakhir bagi mengecas penuh. Justeru saya tidak menunggu sehingga penuh, dan dengan 90% dan jarak perjalanan 361 km, ia merupakan jarak yang mencukupi untuk mendaki Terowong Menora, turun ke Changkat Jering sebelum berpatah balik ke Selatan menggunakan WCE. 

Menggunakan WCE dengan tenaga berbaki 80%, ia merupakan lebuhraya yang landai dan tidak berbukit-bukau seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Walaupun ia mempunyai pemandangan yang cantik, untuk pemanduan boleh dikatakan ia sedikit tidak mencabar dan saya banyak menggunakan Smart Pilot Assist bagi mengekalkan penggunaan tenaga. Tamatnya sebahagian WCE di Teluk Intan saya masuk semula ke PLUS di Slim River sebelum tiba ke RnR Ulu Bernam dengan tenaga hanya berbaki 10% dan jarak perjalanan berbaki 39km. 

Saya dapat rasakan menggunakan Smart #1 Brabus kali ini sedikit berbeza berbanding pengalaman sebelum kni kerana meskipun saya tidak memandu selaju sesi terdahulu, saya tidak menjana semula tenaga yang banyak. Jumlah tenaga yang dijana semula hanyalah sebanyak 9kWh dan purata penggunaan tenaga sebanyak 17.4 kWh /100km untuk jarak perjalanan sejauh 291.6 km.

Untuk perjalanan pulang selepas Ulu Bernam, saya tidak menghadapi sebarang masalah selepas mengecas pada kelajuan maksimum 120 kW dan mengekalkan corak pemanduan kerana telahpun mengecas penuh ketika berbuka puasa. 

Bagi menguji sekiranya terdapat nilai janaan semula pada bateri, saya telah pergi ke Genting Premium Outlet dan menuruni bukit. Sewaktu perjalanan menurun bukit, saya dapat menjana semula tenaga sekitar 5% namun saya rasa di sini terdapat satu kekurangan pada Smart #1 iaitu ketiadaan tetapan janaan semula tenaga menggunakan tuil paddle shifters. Menjadi kebiasaan kereta elektrik, untuk mempunyai tetapan pembrekan janaan semula (regenerative braking) dan Smart #1 mempunyai dua tahap yang boleh diakses melalui tetapan, iaitu Standard dan juga Strong. 

Namun untuk selera pemanduan saya, saya lebih sukakan tetapan tersebut mudah dimanipulasi menggunakan tuil paddle shifters kerana ia boleh mengubah tahap pembrekan janaan semula dengan lebih pantas, dan tangan pengguna tidak perlu berpisah daripada stereng. Kawalan sebegini dapat meningkatkan tahap janaan semula tenaga hasil manipulasi tahap pembrekan tersebut. Seperkara lagi yang menjadi gangguan adalah sensor yang mengesan tahap kesedaran pemandu yang terlalu sensitif. Hanya kerana selekoh tajam di Genting memerlukan tindak balas yang pantas, kawalan pemandu yang agresif pada stereng bakal membuatkan kereta ini memberikan amaran ‘Driver Camera blocked’

Saya faham sekiranya sensor untuk pemandu bertujuan untuk mengelakkan kemalangan namun dalam hemat saya, ia adalah terlalu sensitif dan kebanyakan masa, saya akan pergi ke tetapan kereta bagi menyahaktifkan fungsi ini. Mungkin ini perkara yang boleh ditambah baik dengan kemas kini terhadap sistem operasi. 


Selesai 4 hari pemanduan Smart #1 Brabus, saya boleh simpulkan kereta elektrik ini agak baik dalam kelasnya apabila memberikan pengecasan AC 22 kW yang membolehkan pengecasan AC dalam tempoh yang singkat, dan prestasi pecutannya yang berkuasa dan memberikan keterujaan kepada sesiapa jua yang memandunya. Namun ia juga dihambat oleh sifat terlalu cerewet dalam memantau situasi pemandu, dan lebih agresif ‘menegur’ pemandu yang mungkin masih tidak berasa penat. 

Pada harga RM 249,000 ini, dengan kekurangan 40km berbanding versi #1 Premium, bagi saya adalah satu nilai yang kecil dari segi jarak dan apa yang pembeli akan dapat adalah kereta elektrik yang sangat berprestasi, namun tidak lebih dari itu. Pendek kata anda mungkin menambah RM 30,000 dari versi Premium kerana inginkan status Brabus, dan jika itu bagus untuk anda, baguslah saya katakan untuk berbelanja semaksimum mungkin apabila memilih kenderaan dalam sesuatu siri. 

Dan pada harga tersebut, ia boleh dikatakan bersaing dengan kereta elektrik seperti Tesla Model 3 Performance, Hyundai Ioniq 5 Plus, Hyundai Ioniq 6 Plus, yang jelas menawarkan kapasiti kargo lebih besar memandangkan kelas berlainan, berbeza dengan Smart #1 Brabus yang merupakan kelas ‘hatchback‘.

Kelebihan

  • Kiraan dan algoritma jarak perjalanan yang agak tepat dan tidak menimbulkan kegusaran perjalanan
  • Prestasi pecutan pantas dan berkuasa
  • Fungsi peta ramalan jarak perjalanan berdasarkan kapasiti bateri sangat membantu bagi pengguna merancang perjalanan.
  • Pengecas AC 22kW boleh memendekkan masa mengecas

Kekurangan

  • Suspensi yang ‘keras’ membuatkan penumpang belakang kurang selesa
  • Ruangan but 313 liter tidak mencukupi untuk perjalanan percutian jauh
  • Sensor mengimbas pemandu terlalu sensitif
  • Penukaran tahap brek janaan semula (regenerative braking) perlu dilakukan menerusi menu / tiada ‘paddle shifters‘.
Komen