Carian
Tesla Gunakan Teknologi Purba Untuk Menyelesaikan Masalah Cybertruck
April 22, 2024 Effi Saharudin

Tesla terpaksa memanggil semula hampir 4000 Cybertruck yang telah dihantar kepada pembeli berikutan isu pada pedal pendikit. Muncul laporan pelapik besi pada pedal pendikit boleh tertanggal dan akan menyebabkan ia tersekat. Ini boleh menyebabkan kemalangan kerana pemandu hilang kawalan. Sehari selepas Cybertruck dipanggil semula, Tesla mengumumkan masalah pada trak mereka telah diselesaikan menggunakan teknologi zaman purba.

Pelapik besi kini disambungkan terus kepada pedal pendikit menggunakan rivet. Rivet ialah teknologi yang telah digunakan oleh manusia sejak Zaman Gangsa lebih 4000 tahun yang lalu. Ia adalah cara paling awal menyambungkan dua bahagian logam dengan pantas. Kelemahan pada rivet kapal Titanic dipercayai antara sebab mengapa ia karam selepas melanggar ais terapung lebih 100 tahun lalu.

Penggunaan rivet pada pendikit Cybertruck adalah sekadar penyelesaian sementara bagi membolehkan pemilik terus menggunakan trak. Penyelesaian kekal jangka panjang akan diumumkan oleh Tesla di suatu masa yang belum ditetapkan pada waktu ini.

Komen