Carian
Google Pecat 20 Lagi Kakitangan Yang Memprotes Kontrak Israel
April 23, 2024 Effi Saharudin

Google telah memecat 20 lagi kakitangan yang terlibat dengan protes kontrak perkomputeran awanan antara syarikat dan Israel. Protes menentang Project Nimbus telah dilakukan di pejabat Google di California dan New York pada 16 April lalu yang menyebabkan operasi di kedua-dua lokasi terganggu selama beberapa jam.

Secara keseluruhan 50 kakitangan Google telah dipecat kerana melakukan protes ke atas Israel dengan kumpulan pertama seramai 28 orang dipecat pada 19 April. Ketua keselamatan Google, Chris Rackow, mengecam bantahan dalam memo dalaman yang menyatakan tingkah laku peserta adalah “tidak boleh diterima, sangat mengganggu” dan “membuat rakan sekerja berasa terancam”.

Project Nimbus menerima tentangan hebat kerana infrastruktur Google Cloud bagi memberikan tentera Israel akses kepada sistem pengecaman wajah, analisis objek dan pengelasan imej secara automatik yang digunakan untuk menindas warga Palestin. Google dan Amazon dianugerahkan kontrak bernilai $1.2 bilion bagi menjayakan Project Nimbus.

Komen