Saya Mencuba TV Pintar Samsung 2024 Dan Ini 4 Perkara Paling Menarik
Effi Saharudin
Awal minggu ini saya dan beberapa lagi wakil media dari seluruh Asia Tenggara dijemput menghadiri Samsung VD Tech Seminar di Bangkok Thailand. Samsung menggunakan kesempatan ini untuk menunjukkan inovasi terkini dalam dunia televisyen pintar mereka yang menjadi penyebab mereka adalah pengeluar TV pintar nombor satu dunia selama 18 tahun berturut-turut.

Antara soalan yang sering kami lihat mengenai TV ialah adakah inovasi yang digunakan pada TV pintar Samsung ini berguna atau sekadar gimik? Soalan lazim lain pula ialah wujudkan perbezaan antara model tahun ini dengan tahun sebelumnya? Berdasarkan soalan-soalan lazim ini beberapa demo telah diperlihatkan kepada wakil media dan ini ialah lima perkara menarik pada TV pintar Samsung tahun 2024.
1.Teknologi Upscaling 8K
Samsung Q900FN ialah TV pintar 8K pertama Samsung yang dijual kepada pengguna dengan ia dilancarkan pada tahun 2018. Hampir enam tahun telah berlalu dan kandungan 8K natif masih lagi belum ditawarkan secara meluas. Majoriti platform penstriman popular menghadkan kandungan pada resolusi 4K dengan lebih 80% kandungan selebihnya hanya sekadar FHD.

Dengan kandungan 8K masih lebih jarang-jarang berbanding orang beristeri empat, teknologi upscaling yang meningkatkan kualiti video menjadi sandaran bagi memastikan TV 8K tidak menjadi gajah putih. Cip NQ8 AI Gen 3 ialah “otak” yang digunakan pada TV pintar 8K Samsung tahun ini dengan peningkatan kuasa sehingga dua kali ganda berbanding Gen 2. Dengan peningkatan kuasa ini, kemampuannya dibandingkan dengan cip NQ4 AI Gen 2 yang digunakan pada TV pintar 4K Samsung tahun ini.

Perkara pertama yang kami sedari ialah imej upscaling yang lebih tajam dengan warna nampak lebih hidup jika dibandingkan daripada sumber asal video FHD ataupun 4K. Kandungan natif 8K pastinya lebih baik tetapi selagi ia belum ditawarkan dengan meluas, sistem upscaling yang efektif daripada Samsung menjadi pengganti yang baik.
2. Skrin Kurang Silau dan Pantulan
Demo skrin TV pintar OLED Samsung 2024 ini adalah yang paling menarik perhatian saya. Ini kerana sejak berdekad lamanya isu pantulan cahaya dan objek sekeliling pada skrin memaksa saya menutup langsir dan memadam lampu jika ingin menonton filem di rumah. Panel OLED pada TV Samsung tahun ini mempunyai lapisan baharu yang mengurangkan silau serta pantulan.

Demo menunjukkan perbezaan skrin TV Samsung 2024 dengan 2023. Jelas skrin tahun ini mengurangkan pantulan serta silau dengan cukup ketara. Teknologi ini sebelum ini hanya ditawarkan pada TV The Frame dan kini diberikan pula pada semua TV OLED 2024.
3. AI Picture
Jika telefon mercu Samsung mempunyai Galaxy AI, TV pintar Samsung pula mempunyai AI Picture yang menyelesaikan isu pada TV moden seperti video tidak cukup tajam, dan pergerakan pantas kelihatan kabur. AI Picture akan memastikan objek yang bergerak pantas tidak mempunyai isu ghosting atau kelihatan kurang lancar kerana kadar bingkai yang rendah.

Demo di Bangkok sebuah TV pintar Samsung Neo QLED 8K diletakkan bersebelahan TV 8K jenama pesaing yang dirahsiakan. Pada TV Samsung bola lisut yang di lontar nampak jelas ketika di udara tidak seperti TV pesaing. Ia juga menyelesaikan isu teks bergerak di bawah skrin ketika berita sukar dibaca kerana kabur. Ciri ini pada hemat saya berguna kepada mereka yang minat menonton kandungan sukan.
4. AI Gaming
Ciri AI tidak terhad kepada peningkatan kualiti gambar tetapi turut menguasai sistem yang meningkatkan pengalaman permainan video pada TV Samsung 2024. Game Bar yang memberikan akses pantas untuk pelbagai ciri permainan video kini mengenalpasti genre permainan yang sedang dijalankan.

Dengan ini tetapan untuk FPS, RPG, RTS, sukan dan banyak lagi akan diubah secara automatik tahun ini. Pada tahun sebelumnya ia perlu dilakukan secara manual. Dalam mod sukan misalnya warna ditala supaya rumput di atas padang tidak menyakitkan mata sehingga bola tidak dapat dilihat dengan jelas dalam eFootball 2024. Dalam mod FPS untuk COD Warzone imej latar belakang nampak lebih jelas dan crosshair diaktifkan terus pada skrin.
Kekurangan
Kesemua ciri yang disenaraikan di atas memang saya akui menarik dan menunjukkan peningkatan pada kemampuan TV pintar Samsung tahun ini. Tetapi masih wujud kekurangan seperti masih tiada Dolby Vision kerana Samsung kekal menggunakan HDR10+ yang dibangunkan oleh mereka dengan 20th Century Fox dan Panasonic Corporation. Saya akui gambar HDR10+ adalah cantik tetapi ramai yang menjadikan sokongan Dolby Vision sebagai perlu pada TV yang ingin dibeli.
Isu kedua pula pastinya harga. Walaupun teknologi TV Neo QLED dan OLED Samsung sudah berusia lebih separuh dekad, harga jualan masih di luar kemampuan ramai. Bila agaknya harga TV 8K akan turun seperti harga TV 4K sekarang. Mungkin ini hanya akan berlaku apabila Samsung mula menjual TV 16K boleh gulung mereka dalam masa terdekat.
.