Presiden Biden meluluskan RUU yang memaksa Bytedance menjual perniagaan TikTok sekiranya ingin terus beroperasi di Amerika Syarikat. Mereka diberikan sehingga 12 bulan untuk mencari pembeli tetapi TikTok telahpun menegaskan tidak akan dijual dan akan menentang RUU yang didakwa melanggan hak kebebasan bersuara. Pagi ini muncul pula laporan selepas TikTok, Amerika turut akan melakukan perkara yang sama dengan CapCut.

Menurut laporan The Washington Post, Amerika Syarikat turut akan memerlukan CapCut dijual oleh Bytedance untuk terus beroperasi di negara mereka. Jika ini tidak dilakukan, aplikasi akan diharamkan seperti yang bakal berlaku ke atas TikTok. Alasan yang akan digunakan juga sama iaitu aplikasi boleh digunakan oleh China bagi mengintip rakyat Amerika yang menggunakannya.
Laporan ini tiba beberapa hari selepas kami melaporkan DJI akan menjadi sasaran seterusnya oleh Amerika Syarikat. Terdapat usaha yang serius dilakukan oleh Amerika untuk menghalang operasi serta perniagaan syarikat yang berasal dari China semuanya di bawah payung “menjaga keselamatan negara”.