Carian
Rasmi – TikTok Perlu Dijual Jika Ingin Meneruskan Operasi Di Amerika Syarikat
April 25, 2024 Effi Saharudin

Presiden Joe Biden menandatangani RUU yang memaksa Bytedance menjual TikTok sekiranya ia ingin terus beroperasi di Amerika Syarikat. RUU kini berkuatkuasa dan memberikan Bytedance 270 hari untuk melakukan jualan dengan tempoh ini boleh dilanjutkan sebanyak tiga bulan lagi. RUU ini diluluskan dalam masa empat hari sahaja selepas ia melepasi Dewan Perwakilan sebelum turut melepas Senat Amerika Syarikat semalam.

TikTok

TikTok telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi mereka akan menentang pelaksanaan undang-undang yang didakwa tidak adil. Sebelum ini langkah pengharaman TikTok telah diluluskan di Montana tetapi berjaya dihalang menerusi mahkamah kerana ia didapati melanggar hak bersuara yang termaktub dalam perlembagaan Amerika Syarikat.

Langkah mengharamkan TikTok dimulakan oleh pentadbiran Trump pada tahun 2020. Pada waktu tersebut sebuah syarikat baharu, TikTok Global ditubuhkan dengan saham dipegang oleh Bytedance, Oracle dan Walmart. Tetapi selepas Trump kalah dalam pilihanraya Presiden, usaha ini tidak diteruskan oleh Biden sehinggalah usaha baharu dimulakan semula tahun lalu.

Amerika Syarikat ingin memaksa Bytedance menjual TikTok kerana platform didakwa melakukan intip dan pengawasan bagi pihak China yang dilihat sebagai mendatangkan risiko keselamatan negara. Dakwaan ini masih berterusan walaupun selepas data pengguna A.S dipindahkan ke dalam pelayar milik Oracle.

Komen