Bulan Mac lepas, saya telah menerima Playdate iaitu konsol permainan mudah alih yang dikilangkan di Malaysia. Kerana sudah lama menantikan konsol ini, saya terus menjual Nintendo Switch OLED kerana yakin dan percaya Playdate adalah pengganti terbaik untuk orang yang sibuk seperti saya menikmati hiburan tanpa perlu membeli permainan yang mahal berkali-kali. Tidak dinafikan, Playdate memang seronok dan saya telah main pelbagai jenis permainan. Tetapi satu saya silap, Playdate bukan pengganti Switch dan saya merinduinya.

SPESIFIKASI DAN REKAAN
Playdate | |
---|---|
Skrin | 2.7″, 400 × 240 1-bit, Monokrom |
Pemproses | 168 MHz Cortex M7 SDK menyokong Lua, C |
RAM | 16MB |
Storan | 4GB 8 KB L1 Cache |
Bateri | 8 jam main 14 jam masa tunggu sedia |
Audio | Mono Stereo dengan aksesori |
WiFi, NFC, Bluetooth | WiFi 2.4GHz, Tiada, Bluetooh (akan datang) |
Harga Jualan | Kuning Berharga sekitar RM1,200 |
Skrin 2.7-inci jenis 1-bit monokrom ini agak menarik kerana menyokong pergerakan yang pantas dan lancar. Setiap animasi nampak cantik, unik dan memuaskan kerana ia lain daripada yang lain. Untuk permainan yang ringkas, ia amat menarik tetapi permainan pengembaraan akan membuatkan mata rasa sedikit sakit. Kekurangan skrin konsol ini adalah ia tidak menyokong backlight menyebabkan ia hanya boleh dilihat di bawah pantulan cahaya yang tinggi dan akan menjadi malap apabila kekurangan cahaya.

Playdate direka oleh Teenage Engineering dengan idea untuk mengembalikan konsol permainan mudah alih retro seperti Gameboy. Butang kawalan ringkas hanya terhad untuk arah, A/B, butang kuasa, butang kuasa dan engkol sebagai kawalan yang aneh lagi unik. Ia diperbuat daripada plastik dan rasa kukuh walaupun ia ringan. Engkol dan butang kuasa diperbuat daripada besi yang mudah menangkap kotoran minyak.

Konsol ini direka dengan bentuk segi empat agar mudah disimpan dan di bawa ke mana sahaja. Baterinya tahan sehingga berbelas jam dengan sokongan Always-on Display. Penegcasan adalah USB-C, ada speaker mono dengan port bicu audio 3.5mm, menyokong WiFi dan akan datang akan menyokong sambungan Bluetooth.

Bahagian belakang Playdate ada empat titik besi kecil da tiga daripadanya adalah lubang. Ini adalah untuk kerangka pelindung magnetik yang dijual secara berasingan. Lubang tadi adalah untuk memasukkan punat pada kerangka dan titik besi tadi untuk mengukuhkan kerangka pada Playdate. Kerangka berwarna Aqua yang saya gunakan ini mampu melindungi permukaan plastik berwarna kuning dari kekotoran tetapi jika cepat berpeluh seperti saya kerangka ini akan mudah memerangkap kesan daki.

PENGALAMAN PENGGUNAAN
Sejak Playdate dilancarkan, saya nampak potensinya untuk menjadi pengganti Switch yang saya jarang gunakan. Saya sudah memiliki tiga Nintendo Switch dari model generasi pertama, Lite dan juga OLED. Semuanya saya jual dan telah membeli banyak permainan sehingga ribuan ringgit dibelanjakan tetapi hanya 2-3 permainan saya berjaya habiskan sepanjang tempoh saya memiliki konsol ini.

Beberapa bulan lepas, selepas saya mula bermain dengan Playdate saya rasa gembira dan berpuas hati kerana mampu menghabiskan banyak permainan dalam tempoh yang singkat. Saya juga amat sukakan permainan yang boleh dikawal dengan engkol kerana ia unik dan turut mengajari saya erti bersabar yang lebih mendalam. Engkol ini tidak boleh diputar dengan pantas dan ia seakan kawalan pada PlayStation DualSense, pusing laju ia bergerak pantas dan pusing perlahan di sebaliknya.

Permainan dalam Playdate ini agak menarik. Pada hemat saya ia lebih seakan permua dalam telefon pintar. Setiap permainan kebanyakan sekitar 5-10 minit sudah selesai, ada yang hanya berebut senarai skor tertinggi. Ada yang sekitar 30 minit ke satu jam ada juga yang memakan masa yang lama. Permainan juga ada pelbagai kategori dari yang seram, ngeri, lucu, teka ria dan banyak lagi.

Isu saya dengan Playdate adalah perisiannya. Playdate menggunakan cip 168 MHz Cortex M7 dengan memori 16GB RAM. Ia adalah sistem yang ringan dan ini bermakna proses memuat turun kandungan dan memasang ke dalam peranti memakan masa yang lama. Contohnya, cara memuat turun adalah dengan pergi ke laman web Playdate untuk mengakses gedung permainan Catalog atau tambah kad kredit/debit ke dalam akaun Playdate untuk mudah membeli permainan dari dalam peranti.
Kemudian, saya perlu membuka tetapan sistem peranti dan mencari senarai permainan baharu yang telah diselarikan ke dalam akaun. Proses memuat turun untuk satu permainan yang bersaiz sekitar 100MB kadangkala mencapai 1 jam walaupun dengan Internet yang pantas.

Bukan itu sahaja, apabila sudah berbulan menghadap skrin monokrom saya mula rasa bosan dan tahap kreativiti saya semakin rendah kerana kerap kekurangan idea berbanding bermain Switch OLED dengan skrin berwarna yang cantik. Saya juga merindu permainan dengan grafik tinggi serta dalam bentuk 3D yang lebih interaktif.
KOLEKSI PERMAINAN
Playdate adalah seakan Nothing atau OnePlus. Mereka mementingkan pembangun bebas dan komuniti pengguna. Tetapi istimewa dengan Playdate ini adalah, mereka turut ada bekerjasama dengan pembangun popular yang pernah membangunkan permainan untuk konsol lain yang lebih canggih. Permainan Playdate boleh dibangunkan dengan nova, perisian tersendiri Playdate Caps, Designing for Playdate, Swift for Playdate, Libraries and Tools dan Playdate SDK. Forum dan komuniti untuk pembangun turut disediakan.

Kesemua dalam Catalog dan Itch.io menyenaraikan sekitar lebih 800 permainan. Paling murah adalah percuma. Kemudian harga permainan berbayar adalah antara $1 (~RM4.77) dan $13 (~RM62). Sebuah Playdate boleh memuatkan sehingga 300 permainan dan setakat ini saya telah memasang hampir 40 permainan. Pada unit ulasan ini, Playdate memberi akses percuma kepada kebanyakan permainan.

BATERI
Playdate menyenaraikan konsol mereka mempunyai bateri yang bertahan sehingga 8 jam untuk bermain dan 14 jam dalam keadaan tertutup. Sepanjang penggunaan saya, saya menerima bateri yang mencapai 8 jam apabila main setiap hari sekitar 30 minit sehari. Sementara apabila saya hanya simpan di dalam beg dan menggunakannya untuk semak kalendar, ia bertahan hampir dua minggu. Tempoh pengecasan dengan kabel USB-C bersama pengecas PD 65W adalah sekitar 1 jam 30 minit dari 0% sehingga 100%.

EKOSISTEM?
Playdate tiada ekosistem seperti PlayStation. Ia hanya mempunyai beberapa perisian untuk pembangunan. Konsol ini turut boleh disambungkan ke komputer atau laptop untuk menyiarkan kandungan pada skrin Playdate ke skrin peranti lain. Menariknya, kawalan adalah hampir tiada sela masa. Akan datang, Playdate Stereo Dock akan dilancarkan sebagai dermaga pengecas merangkap speaker stereo yang boleh menyimpan pen. Ini adalah strategi Panic untuk mengembangkan lagi barisan aksesori untuk Playdate.

KESIMPULAN
Jangan marah kerana saya telah tukar pendapat saya dari ingin menjadikan Playdate sebagai pengganti Nintendo Switch kepada kembali merindui konsol mudah alih Nintendo ini. Bukan kerana saya tidak suka Playdate tetapu tiada konsol mudah alih yang betul-betul sempurna. Saya rindu Switch kerana skrin berwarna dan pilihan permainan 3D. Sementara isu dengan Playdate pula ialah ia WAJIB dimainkan di tempat terang dan proses muat turun permainan yang perlahan.

Walaupun begitu, selepas menilai semula perbelanjaan saya dan berbaloi atau tidak memiliki salah satu konsol saya tetap menyatakan Playdate adalah konsol mudah alih untuk saya. Ini kerana saya bukan seorang gamer. Saya hanya bermain Switch, PS5 dan Playdate untuk menghilangkan rasa bosan atau ingin bebas sebentar dari tekanan dan kepenatan kerja. Jadi untuk itu, lebih baik saya pilih Playdate yang permainannya lebih ringkas, murah dan saya boleh habiskan dengan pantas berbanding Switch dan PS5 yang harganya permainan mahal dan untuk menghabiskan satu judul mengambil masa berhari-hari.

Jika saya memiliki Nintendo Switch OLED dan 10 permainan menarik, saya perlu membelanjakan sekitar RM1400 untuk konsol dan dalam RM1000 untuk permainan. Itu belum termasuk aksesori saya sudah kehabisan RM2400. Untuk Playdate, harga seunit adalah sekitar RM1200 dan dengan RM1000 tambahan saya boleh memiliki sekitar 50 permainan atau lebih. Betul harganya Playdate ini masih mahal dan sasaran jualan juga bukan untuk semua orang. Tetapi jika anda beri peluang dan cuba, anda akan rasa tertarik dengan konsol ini.
PRO DAN KELEBIHAN
- Rekaan yang unik dan menarik.
- Kawalan menggunakan engkol yang istimewa.
- Pilihan permainan yang lain daripada pesaing.
- Bateri yang tahan lama.
- Setiap permainan adalah sangat ringkas.
- Mengimbau kembali konsol mudah alih retro.
- Sokongan komuniti dan pembangun yang aktif.
KONTRA DAN KEKURANGAN
- Skrin tiada lampu dan tidak cukup terang.
- Pengecasan mengambil masa yang lama.
- Perisian pantas, tetapi muat turun dan pasang permainan lembab.
- Engkol dan butang kuasa mudah kotor.
- Harga jualan yang agak mahal dan sukar meyakinkan orang untuk membelinya.
