Carian
MSI
Ulasan MSI Claw A1M – Menarik Tapi Tak Cukup “Tajam”
May 8, 2024 Fahim Zahar

Peperangan konsol permainan mudah alih telah bermula selepas Valve melancarkan Steam Deck. Banyak pengeluar cuba menawarkan alternatif terbaik seperti Ayaneo dengan pelbagai model, ASUS dengan ROG Ally, Lenovo dengan Legion Go dan terbaru MSI pula dengan Claw A1M.

Saya telah mencuba hampir kesemuanya dan saya boleh katakan setakat ini MSI Claw A1M adalah yang paling mengecewakan. Ia bukan kerana rekaan atau harga jualan, tetapi cip yang digunakan tidak cukup kuasa untuk mengendalikan permainan dengan grafik tinggi.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

MSI CLAW A1M INTEL CORE ULTRA 7
Skrin7″, 1920×1080 FHD IPS, 120Hz
Skrin Sesentuh
PemprosesIntel Core Ultra 7 155H (7nm)
AI Boost (NPU)
Intel Arc
GPUIntel Arc
RAM16GB RAM LPDDR5-6400
Storan1TB SSD M.2 2230
Bateri53 Whr
6-Sel
Audio2x 2W Speaker Stereo
Kawalan Dan Lain-Lain1x USB-C (DP / Thunderbolt 4 / PD)
1x Pembaca Kad Mikro SD
1x Butang ABXY RGB
1x Analog Hall Effect Kiri & Kanan RGB
1x D-Pad
1x Trigger analog Kiri & Kanan
1x Bumper Kiri & Kanan
1x Butang View
1x Butang Menu
1x Butang M MSI Center
1x Butang Quick Settings
1x Butang Makro button (M1/M2)
1x Sistem haptik HD
ImbasanPengimbas cap jari pada butang kuasa
Harga JualanMSI Claw A1M-044 (16/512 GB Intel Core Ultra 5) – RM3,499
MSI Claw A1M-045 (16/1000 GB Intel Core Ultra 7) – RM3,999

Skrin Claw A1M adalah bersaiz 7-inci IPS beresolusi FHD dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga adalah skrin jenis sesentuh yang mana nampak biasa sahaja. Ini kerana konsol mudah alih sudah ada yang menggunakan skrin OLED seperti Steam Deck dan Nintendo Switch OLED. Walaupun begitu, ciri 120Hz yang membuatkan konsol ini menarik untuk dicuba berbanding pesaing.

Rekaan Claw A1M kelihatan seakan ASUS ROG Ally. Di mata saya perubahan rekaan adalah agak kecil seperti bucu kelihatan aneh sedikit dan susunan port dan butang di atas yang berbeza. Ini membuatkan saya mula berfikir sama ada MSI dan ASUS menggunakan kilang yang sama? Setiap butang amat sedap ditekan dan cukup responsif untuk penggunaan harian.

MSI turut memuatkan banyak butang, suis, pengimbas cap jari dan lampu RGB untuk menyerlahkan estetik Claw A1M ialah sebuah peranti gaming. Walaupun konsol ini adalah sebuah peranti Windows 11, ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai komputer mudah alih kerana rekaan yang memfokuskan permainan video berbanding produktiviti seperti model-model yang ditawarkan oleh Ayaneo.

Di Malaysia, MSI menawarkan dua model iaitu Claw A1M-044 dengan cip Intel Core Ultra 5. Sementara model kedua adalah Claw A1M-045 dengan Intel Core Ultra 7. MSI adalah antara pengeluar yang berani menggunakan cip Intel berbanding pesaing yang menggunakan cip AMD yang telah dioptimasikan untuk permainan video. Cip baharu Intel ini lebih kepada pengopmasian untuk produktiviti.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Niat saya ketika mula menerima peranti ini adalah untuk menjadikan pengganti laptop dan Switch ketika bekerja di luar negara. Amat mudah untuk hanya bawa satu peranti yang berkemampuan, bawa sekali beberapa aksesori dan satu pengecas USB-C. Tetapi kerana rekaan dan pengalaman pandang pertama saya tidak memuaskan, saya memutuskan untuk uji peranti seperti mana saya menggunakan Nintendo Switch sebelum ini.

Saya hidupkan, tetapkan Windows, log masuk terus akaun Xbox untuk Game Pass dan mula memasang dan muat turun pelbagai permainan video. Lain-lain saya cuba membelek antaramuka pelancar permainan AI MSI. Saya tidak menerokai keseluruhan sistem peranti ini kerana ia hanyalah sebuah peranti Windows tanpa papan kekunci dan pad sesentuh.

Kebanyakan permainan video dengan grafik tinggi untuk Windows sudah pun boleh dipasang pada kebanyakan peranti. Bezanya adakah CPU dan GPU mampu memprosesnya? Apa yang saya alami dengan Claw A1M adalah sepertimana ketika saya menggunakan ultrabook Xiaomi beberapa tahun lalu. Ia sekadar dilengkapi GPU Intel HD dan apabila saya cuba menjalankan PUBG, grafik nampak cantik tetapi pergerakan adalah sangat perlahan dan tersekat-sekat. Pada Claw ini saya uji dengan Gotham Knights dan pengalamannya sama.

Untuk permainan lain seperti Resident Evil 2, pergerakan nampak baik tetapi grafik seakan konsol generasi lama. Mortal Kombat 11 nampak seakan grafik PlayStation 3 yang sedikit lebih baik dengan kawalan yang sangat lancar. Permainan Control pula, grafik sudah cantik tetapi kawalan pula tidak konsisten sekejap lancar dan sekejap perlahan.

Saya turut tidak menggemari yang kebanyakan permainan video saya uji tidak mampu memanfaatkan skrin 120Hz. Banyak permainan turut menghalang kawalan skrin sesentuh kerana sistem AI MSI menetapkan profil kawalan secara automatik untuk kawalan dengan butang sahaja jika tiada aksesori disambungkan.

Aneh sekali, MSI Claw A1M tidak memanas ketika bermain permainan untuk sekitar 1 jam secara berterusan. Cuma untuk keluar pergi ke pelancar permainan dan kemudian ke desktop Windows, akan ada sedikit lengah masa sekitar satu minit. Peranti juga agak berat dan disebabkan itu untuk penggunaan saya satu sesi permainan 1 jam telah mencukupi.

Masalah lain adalah Windows 11 itu sendiri. Misalnya ada sesi permainan yang memerlukan saya log masuk akaun tetapi papan kekunci tidak muncul dengan sendiri kerana Claw beranggapan saya sedang menggunakan alat kawalan. Perkara boleh diselesaikan jika Microsoft ada sistem operasi Windows khas untuk konsol mudah alih.

KOLEKSI PERMAINAN

Ini ialah sebuah peranti Windows 11 jadi apa sahaja permainan dari Capcom ke Epic ke Ubisoft secara teorinya boleh dimainkan. Cuma adakah kemampuan GPU Intel Arc dan CPU Intel Ultra 5/7 pada MSI Claw A1M ini mampu mengendalikan permainan yang berat? Sepanjang menggunakan peranti ini, saya hanya langgan Xbox Game Pass untuk sebulan dan mencuba beberapa permainan terkini yang ditawarkan.

BATERI

MSI mendakwa yang Claw A1M boleh bertahan sehingga dua jam untuk digunakan secara berterusan. Ini adalah perkara yang sudah dijangka untuk peranti dengan cip Intel Core Ultra 7 menggunakan kuasa yang lebih tinggi. Dalam penggunaan saya, peranti ini hanya boleh bertahan sekitar 75 minit sesi bermain Mortal Kombat 11. Sementara bateri bertahan sekitar 1 jam apabila bermain Resident Evil 2, Control dan Gotham Knight. Pengecasan mengambil masa sekitar 90 minit untuk penuh mengikut keadaan peranti. Ini adalah ketahanan bateri yang agak mengecewakan kerana Legion Go dan ROG Ally boleh bertahan sehingga dua jam.

EKOSISTEM?

Ketika ulasan ini ditulis, MSI masih tidak mempunyai aksesori untuk melengkap ekosistem seperti ASUS ROG Ally. Ia tidak menyokong eGPU, ia tiada port USB-C tambahan, tiada gajet menarik lain yang boleh menjadikan konsol permainan Windows mudah alih ini lebih menarik. Ia sekadar mempunyai dermaga untuk disambungkan ke skrin dan aksesori pelindung atau hiasan sahaja ditawarkan. Ini adalah satu kelemahan bagi saya kerana harga jualan sudah mencapai lebih RM3000. Jika dibandingkan ROG Ally ia ada banyak gajet menarik seperti GPU tambahan atau Legion Go dengan alat kawalan yang boleh ditanggalkan.

KESIMPULAN

Saya telah menggunakan MSI Claw A1M ini untuk beberapa minggu dan untuk kali pertama menggunakan konsol mudah alih Windows sebagai gajet gaming harian saya. Claw A1M memberikan pengalaman yang menarik. Ini mungkin kerana sudah berbulan saya bermain Playdate sejak menjual Nintendo Switch OLED. Apa yang saya alami, pengalaman bermain dengan Claw A1M adalah seakan bermain permainan 3D pada Switch yang sedikit lebih pantas. Saya turut ada mencuba Legion Go dan ROG Ally sebelum ini, dua pesaing ini memberikan pengalaman lebih baik dengan harga jualan lebih kurang sama.

Walau bagaimanapun jika anda rasa anda tidak akan memanfaatkan pelbagai gimik pada Legion Go, tidak ingin teracun membeli pelbagai aksesori untuk ROG Ally, MSI Claw A1M ini adalah pilihan yang bagus. Cuma buat masa ini Intel Ultra 7 dan Intel Arc masih belum dioptimasikan untuk peranti seperti ini. Jika diberi peluang dan diberi masa, saya yakin MSI boleh “mengasah” lagi konsol ini untuk menjadi lebih “tajam” agar dapat mencakar pesaing sehingga berlari kesakitan.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Skrin yang cantik dan pantas.
  • Butang kawalan yang sedap ditekan dan responsif.
  • Peranti tidak mudah memanas walaupun main lebih 1 jam.
  • Pengacasan pantas PD 3.0 65W.
  • Audio yang baik dan seimbang.
  • Pengimbas cap jari yang laju.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Skrin yang cantik dan pantas ini hanya boleh digunakan ketika tidak bermain permainan.
  • Skrin sesentuh yang penuh dengan pepijat.
  • Bateri tidak tahan lama, sekitar 1 jam penggunaan sahaja.
  • Tiada sokongan aksesori yang menarik.
  • Windows 11 masih belum sesuai dijadikan sebagai sistem operasi konsol permainan mudah-alih.
Komen