Playdate adalah konsol yang dibina di kilang Kedah, Malaysia oleh Panic. Konsol ini memfokuskan permainan ringkas dengan skrin monokrom 1-bit, kawalan dengan engkol dan ketahanan bateri mencapai 8 jam. Harga permainan dan aplikasi untuk Playdate adalah dari RM0 sehingga sekitar RM62 sahaja. Dalam artikel kali ini, saya kongsi temuramah bersama Greg Maletic iaitu Ketua Projek Istimewa Playdate di Panic.

Soalan: Kenapa baru tahun ini mula membenarkan pengguna Malaysia beli Playdate?
Bukan lagi rahsia yang Playdate dibina di Kedah dan kami tidak boleh menjualnya secara terus kerana masalah cukai. Tetapi ia mengambil masa yang lama untuk mencari jalan menawarkan konsol permainan mudah alih unik ini kerana ingin memastikan strategi yang tidak memakan kos yang tinggi.
Selepas gagal mencari pengedar Malaysia yang bersetuju untuk menjual Playdate, kami memilih untuk jual terus di laman web dengan menghantar setiap tempahan dari Amerika Syarikat terus ke Malaysia. Strategi ini adalah lebih mudah serta kos operasinya lebih mampu milik berbanding jualan di negara Asia lain.

Soalan: Apakah sasaran Playdate di Malaysia dengan Nintendo Switch sudah boleh dibeli pada harga lebih mampu milik?
Kami tidak pernah menganggap yang Playdate ini sebagai pesaing kepada Nintendo Switch. Malah kami juga sukakan Switch kerana ia adalah konsol yang menarik. Tetapi kami ingin menjual Playdate kepada pengguna konsol lain untuk mencuba bermain dengan kawalan yang unik seperti dengan engkol di sisi dan menikmati permainan menarik yang tidak akan ditawarkan di konsol lain.
Soalan: Adakah Panic akan hadir dengan model Pro atau pilihan warna lain atau model dengan skrin berwarna?
Kelebihan membina produk baharu dengan teknologi usang adalah, ia tidak akan luput dalam masa terdekat. Sebaliknya Playdate dalam perancangan untuk dijaga kemas kini yang lebih lama. Disebabkan itu, kami tidak merancang untuk hadir dengan model lain atau warna lain buat masa ini.

Soalan: Berapa tahun Panic akan menjaga kemas kini perisian Playdate?
Kami tidak pernah berbincang untuk menyokong perisian Playdate sehingga tarikh tertetntu. Tetapi kami berhasrat untuk menyokong Playdate sehingga beberapa tahun lagi.
Soalan: Kenapa pilih kilang di Malaysia, sedangkan syarikat lain kerap memilih kilang China?
Ini kerana penasihat kami pernah menggunakan perkhidmatan kilang Malaysia berkali-kali dan menerima pengalaman yang bagus. Produk yang dihasilkan di kilang Malaysia juga berkualiti dan ada ramai individu berbakat yang seronok untuk bekerjasama. Di Malaysia, urusan perniagaan juga tiada halangan bahasa seperti negara Asia lain. Saya secara peribadi amat suka Malaysia seperti suasana dan pemandangan serta makanan tempatan.

Saya tidak terkejut apabila Maletic memberitahu tiada pengedar yang berminat menjual Playdate di Malaysia. Ini kerana sambutan konsol seperti ini tidak begitu kuat walaupun harga permainan adalah lebih murah berbanding Nintendo Switch. Dengan harga jualan bermula sekitar RM1200, Playdate adalah sebuah konsol yang agak mahal untuk permainan ringkas. Tidak dinafikan binaan berkualiti, rekaan unik dan pengalaman bermain itu menarik. Tetapi ia mudah bosan dan kurang mencabar berbanding konsol lain.
Adakah anda akan membeli Playdate?