Carian
Muzik Artis Universal Music Group Kembali Semula Ke TikTok
May 2, 2024 Effi Saharudin

Pada 1 Februari lalu, muzik oleh artis Universal Music Group (UMG) telah ditarik daripada TikTok berikutan persetujuan antara dua syarikat yang telah luput. Hari ini UMG mengumumkan mereka berjaya menandatangani perjanjian baharu dengan TikTok yang membolehkan muzik artis mereka kembali digunakan.

TikTok bersetuju memberikan bayaran lebih baik kepada artis, memberikan peluang promosi yang lebih baik dan melindungi muzik daripada digunakan oleh AI generatif. UMG berkata mereka akan mengembalikan muzik artis mereka ke TikTok secepat yang mungkin tetapi tidak berkongsi bila ia akan berlaku.

Sejak 1 Februari video TikTok dengan muzik artis UMG telah dibisukan. Pemilik video diberikan pilihan untuk menggantikan muzik latar dengan muzik yang lain. Antara artis terkemuka di bawah UMG ialah Siti Nurhaliza, Joe Flizzow, P Ramlee, Ella, Dewa 19, Taylor Swift, The Weeknd, SZA, Drake, Billie Eilish, Ariana Grande, Justin Bieber, Adele, dan Coldplay. Hanya Taylor Swift diberikan pelepasan khas oleh UMG untuk mempromosikan album baharu beliau dua minggu lalu di TikTok.

Komen