Carian
Butiran Spotify HiFi Tertiris Lagi
May 3, 2024 Fahim Zahar

Tiga tahun lalu, Spotify mengumumkan Spotify HiFi sebagai pelan menawarkan penstriman audio nirhilang. Ia adalah untuk bersaing dengan Apple Music, Tidal dan lain-lain. Tetapi sehingga hari ini, ia masih belum dilancarkan. Bulan lepas, pelan ini dikatakan akan digelar sebagai Music Pro dan baru-baru ini antaramuka bagi ciri penstriman audio nirhilang di Spotify telah tertiris.

Aplikasi Spotify untuk komputer dilihat hadir dengan ciri semakan keserasian spesifikasi peranti sama ada menyokong main balik audio berkualiti tinggi. Ia turut menyokong Spotify Connect, sambungan Bluetooth tidak digalakkan dan Spotify turut akan menyemak kualiti sambungan Internet pengguna. Pelan Spotify HiFi ini dilihat menawarkan beberapa pilihan kualiti. Antaranya adalah 1,411kbps yang sudah lebih tinggi berbanding sekarang iaitu 320kbps. Mod ini turut boleh meningkat sehingga 2117kbps yang menggunakan data sehingga 15.9MB seminit dan untuk lagu terpilih ada juga menyokong penstriman 24-bit melalui format FLAC.

Untuk aplikasi pada peranti mudah alih, apabila pelan ini ditawarkan pengguna akan melihat tetingkap kecil mengumumkan kehadiran ciri ini. Spotify dilihat menjanjikan sokongan penstriman audio 24-bit menggunakan Spotify Connect. Lagu yang menyokong mod ini akan mempunyai label Lossless sama seperti Apple Music. Spotify HiFi atau Supremium atau Music Pro masih tidak diketahui bila ia akan dilancarkan.

Khabar angin menyatakan harga langganan adalah lebih mahal berbanding Apple Music yang sedia menyokong audio nirhilang tanpa sebarang langganan tambahan. Adakah anda akan melanggan Spotify jika pelan ini berharga dua kali ganda berbanding sekarang?

Komen