Carian
Porsche Design Honor Magic6 RSR Boleh Dibeli Di Kedai Fizikal Terpilih Bermula 5 Mei 2024
May 3, 2024 Amy Maizuraa

Jika sebelum ini hanya ditawarkan melalui laman pendaftaran minat, kini peranti baharu Porsche Design Honor Magic6 RSR akan mula dijual secara terbuka mulai 5 Mei akan datang. Harga jualan ialah RM7,499 dengan pilihan memori 24GB RAM dan storan dalaman 1TB. Namun perlu ditegaskan bahawa ketersediaan peranti hanyalah melalui sejumlah kedai fizikal terpilih.

Ini termasuk Honor Experience Store di The Exchange TRX yang akan dirasmikan pada Ahad ini. Pengunjung yang bertuah juga berpeluang memenangi hadiah menarik disediakan melalui sesi cabutan bertuah sewaktu perasmian tersebut. Bukan itu sahaja cenderahati turut akan disediakan buat 200 pengunjung terawal yang datang ke kedai tersebut kelak.

Berkongsi mengenai peranti pula, ia menawarkan reka bentuk menarik yang berbeza dengan Magic6 Pro sedia ada. Melaluinya bonggol kamera bulat diganti dengan reka bentuk heksagon yang bersaiz besar. Ini diikuti dengan panel belakang sejenis kaca berkilat bersama elemen garis menegak yang menonjol di bahagian tengah.

Seterusnya skrin OLED FHD+ 120Hz 6.8-inci dengan kadar segar semula 120Hz digunakan. Tunjang utama pula dilengkapi dengan cip Snapdragon 8 Gen 3, memori 24GB RAM dan storan 1TB. Bateri 5600mAh disertakan pula boleh dicaskan melalui pengecasan berwayar 80W dan nirwayar 66W. Selain itu, kamera utama 50MP (OIS) + 180MP (telefoto) + 50MP (ultra lebar) dan swafoto 50MP + 3D ToF turut melengkapi peranti.

Komen