Beberapa telefon pintar baharu Huawei Nova telah memasuki pasaran Malaysia pada tahun ini. Salah satu daripadanya ialah Huawei Nova 12S dengan penenakan terhadap rekaan premium dan kemampuan kamera bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Umumnya dapat diterangkan bahawa Nova 12S menawarkan rekaan dan perkakasan dalaman yang hampir sama dengan Nova 11 Pro.

Perbezaan hanya terletak pada binaan tubuh yang rata, kamera tanpa aperature boleh diubah, pengecasan lebih perlahan dan kamera swafoto tunggal. Bagi melihat sama ada peranti kelas pertengahan ini masih berbaloi untuk dibeli dalam pasaran yang sangat kompetitif atau sebaliknya. Berikut ulasan kami untuk peranti tersebut.
Spesifikasi
HUAWEI NOVA 12S | |
---|---|
Skrin | 6.7-inci FHD+ (1084 x 2412 piksel) 120Hz, 20:9 ratio (~395 ppi) |
Pemproses | Snapdragon 778G 4G (6 nm) |
Cip | 4 x 2.4 GHz Kryo 670 4 x 1.8 GHz Kryo 670 |
Cip Grafik | Adreno 642L |
RAM | 8GB RAM |
Muatan Dalaman | 256GB ROM |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.9, (lebar), Laser AF, PDAF 8 MP, f/2.2, 112˚ (ulra-lebar) |
Kamera Swafoto | 60 MP, f/2.4, 100˚ (ultra-lebar) |
Bateri | 4500 mAh Berwayar 66W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G |
NFC | Ada |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari sisi Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM1,999 (8/256GB) |
Skrin Hadapan
Penggunaan skrin OLED masih dikekalkan dengan saiz sebesar 6.7-inci dan beresolusi FHD+ (2412 X 1084 piksel) yang masih menyokong kadar segar semula 120Hz. Meskipun ia bukan daripada jenis LTPO namun terdapatnya Dynamic Mode disediakan yang membolehkan skrin bertukar di antara 60-120Hz secara automatik bergantung pada kandungan digunakan.

Sejujurnya kami tiada isu dengannya kerana masih boleh dianggap lazim pada sebuah peranti kelas pertengahan. Malahan ditambah pula dengan binaan skrin yang kini sepenuhnya rata menjadikan peranti lebih seronok untuk digunakan. Kualiti skrin turut boleh dipuji dengan tahap kecerahan yang cukup memuaskan khususnya digunakan dalam kawasan tertutup.

Kekurangan ialah warna ikon yang kurang menyerlah dan sukar untuk dibaca di bawah cahaya matahari yang terik. Skrin akan menjadi malap seterusnya mengehadkan pandangan untuk melihat kandungan dengan baik. Aplikasi Netflix boleh digunakan tanpa masalah melalui data yang dipindahkan daripada peranti lama memandangkan ia tidak ditawarkan secara lalai. Namun kandungan masih terhad pada SD dan tiada HDR.
Rekaan Fizikal
Nova 12s mempunyai tubuh yang nipis dengan ketebalan 6.88mm dan beratnya cuma 169 gram termasuk bateri. Binaan berkotak dengan skrin rata juga digunakan untuk kali ini. Diikuti juga sisi yang dibulatkan bagi memberikan pengalaman cengkaman lebih selesa. Peranti juga menggunakan bonggol kamera bulat seumpama Nova 11 Pro sebelum ini.

Turut boleh dilihat ialah satu lensa gergasi dipadankan pula dengan lensa kecil dalam bonggol yang berasingan. Selain itu penjenamaan Nova turut mendominasi panel tersebut untuk padanan lebih menarik. Huawei juga menampilkan koleksi rekaan menarik yang disediakan dalam tiga pilihan warna iaitu Blue, White dan Black.
Menggunakan dua konsep berbeza dalam dua jenis bahan binaan, koleksi Blue dan White menampilkan rekaan yang diberi sentuhan baharu. Ia menggunakan panel belakang pusam dengan rekaan abstrak bagi menampakkan kesan menawan. Sekaligus mampu memberikan padanan terbaik khususnya untuk digayakan dalam apa jua situasi.

Sementara itu rekaan yang ringkas dan polos pula diterapkan dalam koleksi Black untuk mereka yang mementingkan konsep minimalis tetapi masih mahu tampil bergaya. Ini kerana koleksi itu direka dengan panel belakang yang tingkas tanpa berlebih-lebih dalam penampilan. Dalam hal ini kemasannya cantik tetapi binaan plastik menjadikannya terasa murah apabila dipegang.


Sisi kanan menempatkan butang kuasa dan laras audio dengan binaan yang baik dan selesa ditekan. Butang kuasa turut mempunyai kemasan warna hijau bagi membezakannya dengan butang laras audio. Ruang slot SIM pula boleh dijumpai di bahagian bawah bersama port USB-C dan sebuah pembesar suara. Melaluinya sebanyak dua SIM berbeza boleh digunakan sepenuhnya tanpa perlu berkongsi dengan kad mikroSD.
Nova 12s juga menawarkan pembesar suara stereo dengan sebuah lagi diletakkan di bahagian atas peranti. Tiada bicu audio pula tidaklah begitu menghairankan kerana memang sudah dilakukan sejak beberapa generasi terdahulu lagi.

Biometri
Nova 12s mempunyai pengimbas cap jari terbina bawah skrin skrin. Ia berfungsi dengan baik pada jari yang bersih dan tidak berpeluh. Namun penggunaan sistem imbasan wajah akan lebih disarankan kerana prestasi yang lancar secara konsisten walaupun dalam keadaan gelap. Cuma apabila memakai cermin mata ia akan gagal mengesan wajah dengan baik. Sistem biometri lain turut disediakan termasuklah Smart Unlock yang membolehkan Nova 12s ini dinyahkunci menggunakan peranti berhubung lain.

Perisian – EMUI 14
Pelancar baharu EMUI 14 digunakan sekaligus menjadikan Nova 12s antara yang terawal menyokongnya. Boleh dilihat dengan jelas pelancar EMUI baharu ini tiada bezanya dengan HarmonyOS 4.0 sedia ada. Melaluinya Huawei menampilkan konsep baharu dengan lebih banyak pilihan untuk tetapan peribadi. Sebagai contoh kami boleh menggunakan gambar peribadi lalu disuaipadan pula dengan pelbagai corak tersedia untuk dijadikan gambar latar (wallpaper) skrin utama.

Pilihan widget juga lebih banyak dengan pelbagai saiz yang boleh diletakkan pada skrin utama. Diikuti juga kebolehan mengubah font yang sesuai dengan keutamaan kami. Panorama Weather turut ditambah bagi membolehkan pengguna menjejak ramalan cuaca harian secara masa nyata dengan lebih tepat.
Ciri tambahan lain yang wujud adalah Live View yang diklon menggunakan konsep daripada Dynamic Island pada peranti Apple. Ia boleh menunjukkan pelbagai status sistem seperti tempoh panggilan, membuka kunci, pemasa, tangkap layar skrin dan pengecasan. EMUI 14 juga memberi tumpuan terhadap privasi melalui fungsi Privacy Centre yang boleh menyemak kekerapan aplikasi yang mengakses data peranti.



Penanda Aras – Cip Snapdragon 778G
Cip Snapdragon 778G 4G digunakan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB untuk tunjang utama. Tiada slot untuk microSD disertakan tetapi peranti boleh menambah sehingga 3GB RAM secara maya menggunakan bahagian storan. Perlu dinyatakan bahawa ia diaktifkan terus secara lalai seperti yang boleh ditemui pada peranti Honor. Beberapa ujian penanda aras turut dijalankan pada peranti dengan kutipan markah seperti berikut:

AnTuTu 3D
- Huawei Nova 12s – 587,535
- Samsung Galaxy A55 – 686,987
- Nothing Phone (2a) – 685,115
- Oppo Reno11 F 5G – 606,353
Geekbench 6
- Huawei Nova 12s – 991/1879
- Samsung Galaxy A55 – 1120/3338
- Nothing Phone (2a) – 1110/2589
- Oppo Reno11 F 5G – 884/2164
3DMark Wildlife Extreme
- Huawei Nova 12s – 2494 / 14.94
- Samsung Galaxy A55 – 1049
- Nothing Phone (2a) – 1157
- Oppo Reno11 F 5G – Tiada
Tidak dapat dipastikan mengapa penanda aras mengesan peranti ini sebagai Nova 11. Seterusnya penggunaan cip Snapdragon 778G di sini boleh dianggap ketinggalan apabila ianya turut telah digunakan sejak peranti Nova 9. Ia bahkan sudah berusia kerana dilancarkan pada tahun 2021. Kemudian tiadanya rangkaian 5G terbina turut menjadi kelemahan yang ketara tatkala industri telefon pintar sedia dibanjiri pelbagai produk yang lebih baik.

Namun tidak bermakna peranti ini tidak mampu berfungsi dengan baik untuk kegunaan harian. Malahan lebih daripada mencukupi tanpa sebarang isu kritikal ditemui sepanjang tempoh ulasan dibuat. Hal ini termasuklah untuk penggunaan melayari internet, menangkap gambar, membalas mesej dan sebagainya.
Tatalan terasa lancar dengan tindak balas yang konsisten. Aplikasi juga boleh dilancarkan tanpa sebarang masalah kegagalan sistem. Pengeluaran haba adalah baik dengan rasa suam yang boleh diterima dalam sesetengah keadaan.

Seterusnya perkara utama yang sering menjadi bualan sudah tentulah mengenai perkhidmatan GMS. Untuk makluman peranti Huawei sememangnya tidak mempunyai perkhidmatan GMS termasuklah gedung aplikasi Google Play. Namun masih terdapat cara lain yang boleh bantu pengguna memasang aplikasi Google pada peranti Huawei ini melalui perkhidmatan microG. Perlu ditegaskan bahawa ia bukanlah penyelesaian rasmi yang ideal tetapi sekadar menjadi alternatif kepada Huawei AppGallery untuk aplikasi yang tidak mencukupi.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Kamera utama Nova 12s menggabungkan sensor 50MP Ultra Vision (f/1.9) + 8MP Ultra lebar dan makro (f/2.2) di belakang. Ia merupakan konfigurasi kamera yang sama digunakan pada Nova 11 Pro tanpa kebolehan apertur boleh diubah. Pada bahagian hadapan pula hanya satu sensor 60MP dengan fokus kekal digunakan dan boleh menangkap gambar lebar.

Seperti biasa gambar hanya boleh diambil dengan nisbah 4:3, 1:1 dan penuh. Tetapan video pula boleh merakam pada tahan maksimum 4K30FPS dengan penstabilan elektronik (AIS) yang sentiasa dihidupkan. Pelbagai pilihan mod kamera juga disediakan yang termasuk Night, Photo, Portrait, Video dan More. Aplikasi kamera juga ditambah baik dengan AI sama seperti sebelum ini. Sekaligus membolehkan ia mengenali dan menyesuaikan tetapan mengikut adegan semasa.





Kualiti gambar boleh dilihat sendiri melalui contoh-contoh yang dilampirkan. Penghasilan semula adalah baik terutama dalam situasi pencahayaan yang terang. Perincian pada imej dijaga dengan baik, tiada masalah hingar yang ketara dan kontras juga tinggi. Penghasilan semula warna juga baik cuma sedikit tepu berbanding yang sepatutnya.




Begitu juga dengan kemampuan ultra-lebar yang kelihatan baik bersama tona warna bermaya Selain turut mampu menawarkan perincian dan dedahan yang mencukupi. Namun apabila diambil dalam situasi malap kelemahan akan mula kelihatan. Gambar menjadi kurang memuaskan dengan penghasilan semula warna tidak konsisten. Diikuti dengan masalah hingar dan imej kurang tajam yang jelas kelihatan. Tangkapan malam juga kurang memuaskan dengan masalah yang sama.




Kualiti zum yang memuaskan pula hanya sehingga 2X namun hasilnya sedikit lembut berbanding biasa. Akhir sekali gambar swafoto nampak memuaskan dengan kebolehan mengambil gambar sudut lebar dan portret yang lebih daripada memadai.
Ketahanan Bateri
Nova 12s mempunyai bateri yang sederhana dengan kapasiti 4500mAh. Pada penggunaan biasa ia mampu bertahan sehingga 21 jam dengan skrin terpasang sehingga 8 jam. Hayat penggunaan ini merosot sekitar 16 jam dengan skrin terpasang hampir 6 jam. Pengecasan semula pula boleh dibuat melalui port USB-C dan pengecasan pantas berwayar 66W. Bateri boleh dicas penuh dalam masa kurang 60 minit. Tiada pengecasan nirwayar diberikan.
Audio
Nova 12s didatangkan dengan sepasang pembesar suara stereo dengan satu di bahagian bawah dan satu lagi pada sisi atas. Pengalaman mendengar sekadar sederhana dengan lontaran audio yang tidak seimbang. Pembesar suara di bawah kedengaran lebih lantang berbanding bahagian atas. Sama seperti peranti Huawei yang lain, pembesar suara Nova 12s juga menyokong sistem Histen yang akan beroperasi apabila aksesori audio dipasang.
Peranti Pesaing
Huawei Nova 12s | Samsung Galaxy A55 | Nothing Phone 2 (a) |
6.7″ OLED 120Hz 1084 x 2412 pixels (~395 PPI) | 6.6″ Super AMOLED 120Hz 1080 x 2350 pixels, HDR10+ | 6.7″ AMOLED 120Hz 1084 x 2412 pixels (~394 PPI) |
Snapdragon 778G 4G (6 nm) 4 x 2.4 GHz Kryo 670 4 x 1.8 GHz Kryo 670 | Exynos 1480 (4nm) 4 x 2.75 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 7200 Pro (4nm) 2 x 2.8 GHz Cortex-A715 6 x 2.0 Cortex-A510 |
Adreno 642L | Xclipse 530 (AMD RDNA2) | Mali-G610 MC4 |
8GB RAM | 12GB RAM | 12GB RAM |
256GB ROM | 256GB ROM | 256GB ROM |
Kamera Utama 50 MP, f/1.9, (lebar) 8 MP, f/2.2 (ultra-lebar) | Kamera Utama 50MP, f/1.8, OIS Sudut Lebar 12MP, f/2.2 Sudut Ultra Lebar 5MP, f/2.4 Makro | Kamera Utama 50 MP, f/1.88, OIS & EIS 50 MP, f/2.2 |
Kamera Hadapan 60 MP f/2.4 | Kamera Hadapan 32MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 32 MP f/2.2 |
Tiada kalis | IP67 | IP54 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio stereo | Audio stereo | Audio stereo |
4,500mAh Berwayar 66W | 5000mAh Berwayar 25W | 5,000mAh Berwayar 45W |
RM1,999 (8/256GB) | RM1,999 (12/256GB) | RM1,699 (12/256GB) |
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak Huawei Nova 12s:
- 1 x Huawei Nova 12s.
- 1 x Kepala Pengecas 66W.
- 1 x Kabel USB-C ke USB-A.
- 1 x Kerangka Silikon.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, Nova 12S sebenarnya mampu menarik minat sesetengah pengguna. Ia menawarkan kemasan unik bersama binaan yang selesa digenggam. Kualiti paparan juga hebat bersama kemampuan peranti berfungsi sebaiknya untuk sebahagian besar kegunaan harian. Prestasi kamera turut memberi hasil yang mencukupi meskipun tidak begitu sempurna.
Cumanya tiada GMS sudah tentulah menjadi kelemahan besar dan menggunakan MicroG juga bukanlah penyelesaian yang ideal. Kemudian peranti Huawei ini juga sekadar menyokong LTE. Seandainya hal-hal disebutkan bukan halangan buat anda justeru peranti ini boleh sahaja dipertimbangkan untuk dimiliki.

Pro
- Binaan selesa di genggaman.
- Skrin OLED yang cantik, kadar segar semula 120Hz.
- Sistem imbasan wajah yang pantas.
- Prestasi kamera lebih daripada memadai.
Kontra
- Tiada sokongan HDR dan resolusi HD Penuh pada Netflix.
- Audio tidak seimbang.
- Tiada 5G.
- Tiada GMS.
