Beberapa bulan lalu, Huawei telah memperlihatkan serba sedikit tentang peranti pintar terbaru mereka, iaitu siri Huawei Nova 11 yang terdiri daripada Huawei Nova 11 dan juga Huawei Nova 11 Pro. Huawei telahpun melancarkan Huawei Nova 11 Pro bulan lalu maka apakah kelebihan yang ditawarkan peranti ini untuk pada pengguna tempatan.
Spesifikasi
Huawei Nova 11 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.78″ LTPO OLED, 120Hz 1220 x 2652 pixels (~444 ppi) |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 778 4G (4 nm) |
Cip | 4 × 2.4 GHz Cortex-A78 4 × 1.8 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Adreno 642L |
RAM | 8GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.9-f/4.0, (lebar), PDAF, Laser AF 8 MP, f/2.2 (ultra-lebar), AF |
Kamera Swafoto | 8MP f/2.2, 55mm 60MP, f/2.4, 100mm (ultra-lebar) |
Bateri | 4500mAh Berwayar 100W Berbalik 7.5W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 4G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM2599 |
Bermula dengan spesifikasi peranti ini, Huawei Nova 11 Pro tampil menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 778G 4G dan hadir bersama memori sebanyak 8GB dan juga pilihan storan 256GB dan 512GB yang mana kami menerima model dengan storan yang lebih besar.
Peranti ini turut hadir dengan sistem imbasan cap jari dan muka yang boleh digunakan untuk menyahkunci peranti dengan cepat, dan hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar Bluetooth 5.2 LE dan juga WiFi6 yang menjanjikan sambungan internet yang pantas.
Walaupun peranti ini hadir dengan sokongan untuk pengecasan pantas 100W Huawei SuperCharge Turbo, sayangnya palam USB Type-C yang dipasang pada peranti ini hanyalah sebuah palam USB 2.0 sahaja yang sangat usang dan perlahan sekali. Jadi jika anda mahu menghantar gambar ataupun video beresolusi tinggi, saranan kami ialah untuk menggunakan sambungan Bluetooth ataupun emel sahaja fail-fail media tersebut.
Paparan
Penawaran peranti kelas pertengahan tidak semestinya anda perlu berkompromi dengan paparan skrin yang ditawarkan. Huawei Nova 11 Pro dilihat menggunakan paparan skrin OLED bersaiz 6.78 inci dengan 1220 x 2652 pixel dan kadar segar semula 120Hz dan kadar sentuhan 300Hz.
Dari sekilas pandang, paparan skrin OLED ini juga hadir dengan kecerahan yang cukup tinggi dimana ia menyokong teknologi paparan HDR10, dan ini membolehkan anda untuk menonton video-video kegemaran anda dengan kualiti olahan warna yang cukup baik sekali.
Bukan itu sahaja, Huawei Nova 11 Pro ini juga menggunakan kaca Kunlun untuk memastikan bahagian paparan peranti ini tidak mudah tercalar dan juga retak. Gabungan kesemua komponen-komponen ini menjadikan paparan ini salah satu ciri-ciri terbaik yang ditawarkan pada peranti ini.
Ia juga menggunakan paparan skrin melengkung yang dapat dilihat pada peranti-peranti sebelum ini seperti Samsung Galaxy S8 dan Huawei Mate 30. Ini dilihat sebagai satu pilihan rekaan daripada pihak Huawei, tetapi samada ia adalah sesuatu yang anda akan gemari ataupun tidak adalah bergantung sepenuhnya kepada anda. Bagi saya, penggunaan skrin melengkung ialah sesuatu yang saya masih tidak begitu gemari kerana ia menyebabkan kandungan ditonton melimpah ke sisi. Sangat melecehkan ketika menonton video atau menjalankan permua.
Rekaan
Apabila saya mengeluarkan Huawei Nova 11 Pro ini buat kali pertama, salah satu daripada perkara pertama yang menarik minat saya mengenai peranti ini ialah rekaan bahagian belakang peranti ini.
Tidak banyak jenama peranti pintar akan menggunakan bahan seperti kulit untuk rangka belakang peranti mereka, tetapi Huawei Nova 11 Pro menggunakan vegan leather yang hadir dengan rekaan monogram NOVA yang dapat dilihat bertebaran di bahagian rangka kulit ini.
Huawei Nova 11 Pro hadir dengan pilihan warna hijau dan juga hitam, yang mungkin tidak terlalu banyak, tetapi ini mungkin adalah dua pilihan warna terbaik yang dipilih khususnya dengan penggunaan bahan kulit untuk rangka belakang ini.
Penggunaan kulit sintetik sebagai rangka belakang sebuah peranti bukanlah sesuatu yang baru, tetapi penggunaannya di dalam sebuah peranti kelas pertengahan bagi saya ialah satu keputusan yang agak menarik.
Ia juga memberikan peranti ini dua kelebihan, iaitu permukaan belakang yang tidak licin, dan tiada lagi keperluan untuk memasang sarung peranti yang akan menutup betapa cantiknya rekaan peranti ini.
Perisian
Huawei Nova 11 Pro menggunakan sistem operasi EMUI 13 berasaskan sistem operasi Android 12 yang seperti sedia maklum, tidak hadir dengan sistem Google Mobile Services yang diperlukan untuk mengakses dan memuat-turun perisian dari Google Play Store.
Seperti biasa, anda akan perlu memuat-turun perisian melalui Huawei App Gallery yang mana kini ia mempunyai sambungan kepada laman web APK Pure sekiranya anda mahu menggunakan aplikasi yang tidak ditawarkan secara rasmi oleh Huawei.
Dari segi penawaran aplikasi sedia ada, Petal Browser, Petal Maps dan sebagainya boleh digunakan tanpa sebarang masalah. Saya mencuba Petal Maps sebagai perisian navigasi untuk ke pejabat dan ke rumah, malah, pada hemat saya, beberapa aspek pada Petal Maps ini dilihat memudahkan navigasi perjalanan lebih baik berbanding dengan Google Maps.
Antaramuka Huawei Nova 11 ini cukup bersih sekali, dengan ikon aplikasi yang senang dilihat. Tetapi satu kekurangan yang sangat ketara bagi saya ialah jumlah aplikasi gendut yang ditawarkan pada peranti ini yang terlalu banyak jumlahnya sehinggalah ia terpaksa dimasukkan didalam sejumlah folder d dalam peranti ini.
Sekurang-kurangnya EMUI 13 memberi anda pilihan untuk membuang ikon-ikon aplikasi ini dari skrin utama ke talam aplikasi, tetapi di sini juga saya perlu memberitahu bahawa fungsi talam aplikasi perlu diaktifkan melalui tetapan peranti.
Pengalaman Penggunaan
Jujur saya katakan bahawa ini adalah kali pertama saya menggunakan sebuah peranti Huawei setelah Google mengumumkan bahawa syarikat tersebut tidak dibenarkan lagi menggunakan perkhidmatan Google Mobile Services pada peranti-peranti mereka.
Tetapi sebelum itu, saya mahu mengatakan bahawa dari segi prestasi peranti, Huawei Nova 11 Pro tiada sebarang isu yang dapat saya lihat ataupun rasakan. Penggunaan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 778G dan juga 12GB RAM terbina adalah cukup berkuasa untuk kegunaan harian seperti penggunaan aplikasi media sosial, melayari laman web dan juga riadah dengan permainan mudah-alih.
Malah, menggerakkan pelbagai aplikasi yang tidak memerlukan sambungan ke Google juga cukup mudah sekali kerana Huawei App Store diintegrasi dengan carian ke APK Pure, memudahkan muat-turun fail-fail APK kebanyakan.
Tetapi dengan kemudahan ini juga, saya masih perlu mengingatkan anda bahawa risiko memuat-turun aplikasi-aplikasi ini adalah ditanggung oleh anda sendiri kerana ia tidak melalui pengesahan Google Play Store.
Akan tetapi, untuk menggunakan peranti ini sebagai peranti utama harian saya adalah agak sukar, dan seperti yang anda boleh agak, ini adalah kerana ketiadaan sokongan perkhidmatan Google Mobile Services, ataupun GMS.
Dan ini bukanlah bermakna bahawa perkhidmatan Google tidak boleh digunakan pada peranti ini, tetapi secara lazimnya anda akan perlu melog masuk k edalam akaun anda menggunakan pelayar web terbina, dan ini adalah sesuatu yang sangat leceh untuk saya, seorang pengguna tegar perkhidmatan Google.
Dalam pada itu, satu kerugian yang saya mahu ketengahkan pada peranti ini ialah walaupun ia menggunakan sebuah panel OLED yang boleh mengolah warna dengan cukup cantik sekali, memanfaatkannya adalah agak sukar kerana ketiadaan sokongan untuk aplikasi seperti penstriman video YouTube dan Netflix secara lalai.
Saya diberitahu bahawa satu cara untuk memasang dan melog masuk ke dalam aplikasi Netflix ialah melalui pemindahan profil peranti Android yang sudahpun mempunyai butiran log masuk Netflix ke peranti ini. Perkara ini tidaklah begitu sukar, tetapi jika tidak diberitahu kepada mereka yang baru membeli atau menggunakan peranti ini untuk pertama kali, ia adalah sesuatu yang sangat leceh sekali.
Sokongan Aplikasi Google
Ini bukanlah pertama kali sebuah peranti Huawei diulas di Amanz, tetapi saya mahu mengetengahkan pengalaman saya untuk sekurang-kurangnya cuba mengaktifkan aplikasi Google pada peranti ini.
Sebagai kajian untuk menggunakan peranti Huawei Nova 11 Pro ini, saya menonton banyak video ulasan mengenai peranti-peranti Huawei untuk membantu saya memahami corak penggunaan peranti Huawei ini. Banyak ulasan yang saya tonton mengatakan bahawa anda boleh memuat-turun aplikasi Google dan menggunakannya “secara terus”.
Dalam pengalaman saya menggunakan peranti Huawei ini, ya, anda boleh memuat-turun aplikasi Google tanpa masalah, tetapi peranti ini akan meminta anda untuk memuat-turun aplikasi Lighthouse ataupun Lighthouse Ex untuk menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan Google melalui aplikasi tersebut.
Apa yang menarik bagi saya ialah peranti Huawei kini telah mengimplementasikan terus permintaan memuat-turun aplikasi tersebut apabila anda memuat-turun aplikasi-aplikasi Google, kerana saya juga diberitahu sebelum ini anda perlu memuat-turun sendiri aplikasi tersebut dengan sendiri untuk menggunakannya.
Saya seorang yang benar-benar paranoid mengenai penggunaan aplikasi parti ketiga pada peranti pintar yang tiada sokongan rasmi, khususnya untuk perkhidmatan seperti Google. Banyak laman web yang saya baca juga mengatakan bahawa setakat ini aplikasi Lighthouse ini selamat digunakan, tetapi oleh kerana ia merupakan sebuah aplikasi parti ketiga yang tidak mendapat pengesahan dari Google, saya sendiri tidak berani untuk sarankan anda menggunakan aplikasi ini.
Ujian Penanda-Aras
Berikut ialah skor penanda-aras untuk peranti Huawei Nova 11 Pro. Seperti yang dikatakan, peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 778G, memori sebanyak 8GB dan juga mempunyai storan dalaman 256GB.
Geek Bench 6
Antutu
3DMark Wild Life
Kamera
Huawei Nova 11 Pro hadir dengan sistem dwi-kamera UltraVision yang terdiri daripada kamera lebar 50MP dengan bukaan f/1.9 dan kamera ultra-lebar macro 8MP dengan bukaan f/2.2 dengan sistem penstabilan imej PDAF (Phase Detection Autofocus) yang menjanjikan tangkapan gambar yang tajam dalam pelbagai jenis situasi.
Apa yang menarik dengan penawaran kamera Huawei Nova 11 Pro ini ialah ia hadir dengan pelbagai mod tangkapan gambar seperti portrait, macro dan gambar-gambar ultra-lebar. Dari segi kualiti gambar yang diperlihatkan, saya boleh kata bahawa kamera Huawei ini cukup bagus dalam mengambil gambar-gambar potret dan juga gambar dalam keadaan malap.
Kualiti gambar yang diperlihatkan cukup tajam, dan ciri-ciri seperti mod XD Beauty yang diperlihatkan boleh dikatakan benar-benar membantu dalam mengambil gambar yang tidak jauh warnanya dari keadaan asal, tidak kira dari segi warna kulit mahupun gambaran persekitaran.
Gambar-gambar ini diambil terus dari kamera tanpa suntingan warna, dan hanya diubah dari segi
Jika saya mempunyai satu kritikan tentang kamera Huawei Nova 11 Pro ini, ialah mungkin bahawa terdapat sedikit isu tersekat selepas mengambil gambar. Isu ini hanya berlaku setelah anda mengambil gambar, dan tidak menjejaskan kualiti gambar yang diambil.
Bateri
Huawei Nova 11 Pro hadir dengan bateri sebesar 4500mAH dan boleh dicas dengan cepat menggunakan pengecas SuperCharge 100W yang dibekalkan bersama-sama dengan peranti ini. Pengecasan pantas ini membolehkan saya untuk mengecas Huawei Nova 11 Pro ini dalam masa kurang dari setengah jam, dan walaupun peranti ini hanya dicas untuk sekitar 5-10 minit, anda masih akan dapat penggunaan selama beberapa jam tanpa masalah.
Audio
Huawei Nova 11 Pro hadir dengan pembesar suara stereo di bahagian kiri dan kanan peranti apabila berada dalam keadaan mendatar. Secara teorinya penggunaan pembesar suara stereo ini sepatutnya memberikan pengguna pengalaman audio yang lebih sekata tanpa perlu memaksimumkan penatalan audio pada peranti.
Walaupun begitu, sepanjang saya menggunakan Huawei Nova 11 Pro ini, ya, ia benar bahawa saya tidak perlu memaksimumkan tatalan audio untuk mendapatkan bunyi audio yang kuat, tetapi sayangnya kualiti audio yang ditawarkan pada peranti ini tidak sebaik seperti yang dijangkakan.
Kualiti audio pembesar suara peranti ini pada pendapat saya berada pada tahap yang memuaskan, khususnya apabila saya menguji permua seperti Honkai Star Rail, tetapi untuk tujuan seperti memainkan video YouTube ataupun mendengar lagu, isu seperti audio teredam dapat didengari dengan jelas.
Dalam pada itu seperti yang sedia maklum, kebanyakan peranti pintar sekarang tidak mempunyai palam audio 3.5mm, jadi anda akan memerlukan fon telinga atau fon kepala nirwayar untuk mendapatkan kualiti audio yang lebih baik.
Pesaing
Huawei Nova 11 Pro | Poco F5 | iQOO Z7 |
6.78″ OLED, 120Hz FHD+, HDR10- | 6.72″ Flow AMOLED, 120Hz FHD+, Dolby Vision | 6.64″ LCD, 120Hz FHD+, HDR10 |
Snapdragon 778G (6nm) 1x 2.4 GHz Cortex-A78 3x 2.4 GHz Cortex-A78 4x 1.8 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 7+ Gen 2 (4nm) 1x 2.91 GHz Cortex-A710 3x 2.49 GHz Cortex-A710 4x 1.8 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 782G (6nm) 1x 2.7 GHz Cortex-A78 3x 2.4 GHz Cortex-A78 4x 1.8 GHz Cortex-A55 |
Adreno 642L | Adreno 725 | Adreno 642L |
8 GB LPDDR4X | 8/12 GB LPDDR5 Memori maya 7GB | 8/12 GB LPDRR4X Memori maya 8GB |
256GB UFS 3.1 | 256GB UFS 3.1 | 128/256 GB UFS 2.2 |
Kamera Utama 50MP, f/1.9, (Sudut Lebar) 8MP, f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 4K 30 FPS | Kamera Utama 64MP f/1.79, OIS, (Sudut Lebar) 2MP f/2.2, (Sudut Ultra-Lebar) 8MP f/2.4, (Makro) 8K | Kamera Utama 48MP, f/1.8 Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Sudut Ultra-Lebar) 5MP f/2.4 (Makro) 1080p 30p |
Kamera Hadapan 8MP f/2.2 60MP, f/2.4 (ultra-lebar) | Kamera Hadapan 16MP f/2.45 | Kamera Hadapan 16MP f/2.2 |
Tidak kalis air | IP53 | Tidak kalis air |
Bicu audio 3.5mm | Tiada | |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
4500 mAh (Berwayar 100W) | 5000 mAh (Berwayar 67W) | 5000 mAh (Berwayar 120W) |
RM 2599 (8/256GB) | RM 1699 (8/256GB) RM 1799 (12/256GB) | RM1299 (8/128 GB) RM1499 (12/256 GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti Huawei Nova 11 Pro di Malaysia.
- 1x Huawei Nova 11 Pro.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Kepala pengecas 100W.
- 1x Manual Pengguna.
- 1x Kerangka Silikon.
- 1x Pin SIM.
Kesimpulan
Dari segi prestasi peranti, tiada apa yang buruk mengenai Huawei Nova 11 Pro ini. Cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 778G 4G dengan penawaran memori 8GB RAM cukup bagus untuk menggerakkan aplikasi-aplikasi moden tanpa begitu banyak masalah, dan jika anda boleh hidup tanpa menggunakan GMS, atau tidak begitu risau tentang menggunakan aplikasi Lighthouse untuk mengaktifkan fungsi tersebut.
Akan tetapi, ini mungkin masalah terbesar mengenai peranti ini. Untuk tanda harga RM2590, tiada apa yang begitu istimewa mengenai Huawei Nova 11 Pro ini, mungkin kecuali untuk penggunaan kulit tiruan sebagai rangka belakangnya dan juga fungsi perkongsian fail sekiranya anda juga memiliki sebuah komputer riba ataupun tablet Huawei.
Pada tanda harga ini, peranti-peranti Android lain seperti Xiaomi 12T Pro dan OnePlus Nord 3 5G dilihat jauh lebih berbaloi untuk wang anda, khususnya dengan penawaran kuasa pemprosesan dan ciri-ciri hebat seperti kamera 200MP pada peranti Xiaomi dan cip pemprosesan Dimensity 9000 dan memori 28GB terbina.
Pro:
- Rekaan peranti yang menarik dengan kulit sintetik.
- Prestasi cip Snapdragon 778G yang cukup baik untuk kegunaan harian.
- Paparan OLED yang cantik, kadar segar semula 120Hz.
- Pengecasan pantas.
Kontra:
- Masih perlu memuat-turun banyak peranti melalui penawaran pihak ketiga.
- Paparan melengkung.
- Tiada kelebihan istimewa.
- Penawaran peranti lain yang lebih berbaloi.