Carian
TikTok Memfailkan Saman Ke Atas Kerajaan Amerika Syarikat
May 8, 2024 Aman

TikTok kini memfailkan saman ke atas kerajaan Amerika Syarikat, lanjutan daripada perundangan baharu yang memaksa TikTok untuk menjual syarikat mereka kepada firma di Amerika Syarikat atau aplikasi berkenaan akan diharamkan di negara tersebut.

Sebelum ini, melalui perundangan baharu berkenaan, Bytedance diberikan tempoh sehingga sekitar Januari 2025 untuk menjual perniagaan TikTok di Amerika Syarikat, atau aplikasi berkenaan akan diharamkan. Namun, mengikut pelbagai laporan awal, Bytedance dilihat tidak ingin menjual TikTok – dan pada masa yang sama, ia mungkin dihalang oleh China kerana turut menyertakan algoritma khusus.

TikTok menyatakan langkah Amerika Syarikat ini melanggar perlembagaan, dan pertama kali dalam sejarah sebuah platform dipaksa untuk dijual atau akan menghalang rakyat Amerika menyertai komuniti lebih 1 bilion pengguna seluruh dunia. Saman yang difailkan oleh TikTok juga turut menekankan yang mana ia telah beroperasi sejak 2017 yang lepas, dan pelbagai hujah pengharaman tidak mempunyai sebarang bukti sehingga kini mengatakan data TikTok disalahguna oleh kerajaan China.

Dengan pemfailan saman ini, sama-sama kita nantikan apakah reaksi kerajaan Amerika Syarikat, dan bagaimanakah keputusan mahkamah kelak yang akan menetapkan masa depan TikTok di negara tersebut.

Komen