Carian
Ciri AI Akan Tiba Ke Final Cut Pro Tidak Lama Lagi
May 8, 2024 Fahim Zahar

Malam tadi, Apple telah melancarkan iPad Air baharu dengan dua pilihan saiz dan juga iPad Pro dengan cip Apple M4 baharu. Cip baharu ini turut menyokong Neural Engine yang lebih berkuasa untuk memproses kecerdasan buatan. Acara Let Loose malam tadi turut kali pertama saya mendengar pekerja Apple menyebut AI banyak kali. Final Cut Pro adalah antara aplikasi Apple yang akan memanfaatkan ciri ini.

Aplikasi Final Cut Camera yang akan tiba pada Jun nanti, turut boleh digunakan bersama Final Cut Pro baharu. Final Cut Pro ini dikatakan akan menggunakan ciri AI untuk memudahkan pengguna menyunting video dengan satu klik. Hanya klik butang Enhance Light and Color, ia boleh menyunting warna, keseimbangan warna, kontras, dan kecerahan. Ia boleh digunakan bersama fail video SDR, HDR, RAW dan juga Log.

Smooth Slo-Mo turut akan diintegrasikan ke dalam Final Cut Pro 10.8, di mana sistem AI akan menjana imej baharu untuk dimasukkan agar video nampak lebih cantik dan realistik. Kelak pengguna turut boleh memberi nama pada setiap profil warna dicipta dan turut lebih mudah menguruskan fail-fail media untuk kerja suntingan.

Final Cut Pro for iPad 2 boleh dilanggan dengan harga RM22.90 sebulan atau RM199 untuk setahun. Final Cut Pro 10.8 pula berharga RM1299.90, sementara Final Cut Camera adalah percuma. Anda boleh menikmati ciri AI ini seawal bulan Jun nanti.

Komen