Carian
Google Membawa Ciri Seakan Circle To Search Ke iPhone
May 8, 2024 Fahim Zahar

Circle to Search adalah ciri carian baharu yang menggunakan teknologi sama pada Google Lens cuma dengan cara penggunaan lebih mudah dan menarik. Ia diperkenalkan kepada siri Samsung Galaxy S24 dan akan tiba ke peranti Android lain bermula Oktober akan datang. Terbaru, ciri Google Lens pada aplikasi Google untuk iOS mula menyertakan ciri seakan Circle to Search.

Jika Circle to Search memerlukan kawalan gestur dan kemudian perlu pilih bahagian yang ingin dicari, pada iPhone ia menggunakan kaedah akses pintasan. Ciri ini akan mengambil tangkapan layar kandungan terpapar pada skrin dan terus hantar kepada Google Lens untuk carian yang lebih pantas. iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max boleh akses ciri ini menggunakan Action Button sementara iPhone lain boleh mengaktifkannya dengan kawalan gestur Back Tap.

Untuk menggunakan ciri ini, ikuti langkah di bawah. Saya akan menggunakan iPhone 15 Plus sebagai contoh;

  1. Pada iPhone pergi ke Settings> Accessibility > Touch.
  2. Tatal ke bawah dan pilih Back Tap.
  3. Pilih ingin tap dua kali atau tiga kali.
  4. Tatal lagi ke bawah untuk ke bahagian Shortcuts dan pilih Search your screenshot.
  5. Tekan Back Tap untuk pengesahan.
  6. Lakukan gestur Back Tap tadi untuk mula menggunakannya.

Dalam semakan saya, beberapa iPhone di makmal Amanz masih tidak menyokongnya walaupun telah menggunakan aplikasi Google yang terkini. Ciri ini berkemungkinan besar diedarkan kepada orang ramai secara berperingkat.

Komen