Carian
Huawei Menduduki Tempat Pertama DxoMark Melalui Pura70 Ultra
May 9, 2024 Amy Maizuraa

Huawei Pura70 Ultra menduduki tangga teratas dengan kelebihan lima mata berbanding Honor Magic6 Pro dan enam mata di hadapan Oppo Find X7 Ultra dalam carta DxoMark. Melaluinya Huawei Pura70 Ultra dilihat mencatatkan skor tertinggi 163 keseluruhannya untuk kebolehan kamera utama. Untuk ringkasan ujian, ia menerima 169 mata untuk keupayaan fotografi, 85 mata untuk keupayaan bokeh, 164 mata bagi kebolehan zum dan 148 mata untuk kemampuan video.

Pujian diberikan pada prestasi kamera serba boleh yang memberikan pengalaman fotografi mudah alih hebat dalam kelasnya setakat ini. Peranti juga dikatakan mampu menghasilkan imej pegun yang cemerlang dalam pelbagai situasi termasuk pencahayaan rendah. Diikuti kemampuan kamera menghasilkan tona warna kulit manusia nampak semula jadi bersama sistem imbangan putih yang seimbang. Kemampuan zum dan makro turut dikatakan baik dengan penghasilan imej yang terperinci.

Namun masih terdapatnya kelemahan pada prestasi video yang memberi hasil tidak konsisten bersama keperincian kurang memuaskan. Di Malaysia, Huawei Pura70 Ultra ditawarkan di Malaysia pada harga RM6,599 dan boleh dipratempah sekarang bagi yang berminat.

Komen