Carian
Disney Dan Warner Bros. Discovery Menawarkan Pelan Langganan Disney+, Hulu dan Max
May 9, 2024 Effi Saharudin

Suatu ketika dahulu anda boleh melanggan pelan hiburan di Astro yang menggabungkan saluran yang menawarkan video dan siri TV. Penstriman video mendatangkan kesan kepada perkhidmatan TV satelit kerana setiap pemilik platform hanya menawarkan kandungan milik sendiri. Tetapi di Amerika Syarikat, Disney dan Warner Bros. Discovery mengumumkan pelan langganan yang menggabungkan kandungan kedua-dua syarikat.

Di bawah pelan ini, kandungan Disney+, Hulu dan Max dapat dilanggan dalam berkas tersendiri. Antarakandungan yang boleh diakses ialah yang ditawarkan oleh ABC, CNN, DC, Discovery, Disney, Food Network, FX, HBO, HGTV, Hulu, Marvel, Pixar, Searchlight, Warner Bros dan banyak lagi. Dengan kata lain pelan yang ditawarkan oleh TV satelit kini kembali di era penstriman video. Bila pelan ini akan ditawarkan serta harga langganan bulanan akan diumumkan kelak.

Penggabungan pelan antara pelbagai syarikat ini tidak mengejutkan kerana pada Februari lalu ESPN, Fox dan Warner Bros. Discovery telah mengumumkan platform penstriman sukan baharu. Platform akan menawarkan kandungan Formula 1, La Liga, NFL, NBA, WNBA, MLB, NHL, NASCAR, NCAA, UFC, Golf PGA TOUR, Tennis Grand Slam, Piala Dunia FIFA, basikal dan banyak lagi.

Komen