Carian
Android 15 Akan Menyokong Penstabilan Kamera Lebih Baik Untuk Aplikasi Pihak Ketiga
May 9, 2024 Fahim Zahar

Android 15 telah pun boleh diuji oleh pengguna Google Pixel. Butiran lanjut mengenai Android 15 akan diumumkan pada acara Google I/O 2024 dan versi stabil akan tiba ke pengguna hujung tahun ini. Terbaru, pembangun mula menemui kod untuk sokongan pemalam pada API Camera2 yang boleh menstabilkan rakaman video pada aplikasi pihak ketiga.

Pemalam untuk pembangun gunakan adalah Eyes Free yang membolehkan sesuatu aplikasi dengan kamera seperti WhatsApp, Snapchat, Instagram dan lain-lain memfokus pada subjek dan terus mengunci untuk memastikan hasil video lebih cantik serta tiada sebarang kesan gegaran. Eyes Free turut boleh dipadankan dengan pemalam lain yang pembangun sedia gunakan seperti mod auto, mod bokeh, mod kecantikan wajah, mod HDR dan juga mod malam.

Ini bermakna kelak, peranti-peranti Android 15 akan mempunyai sokongan kamera lebih baik yang tidak terhad pada kamera utama peranti. Sebaliknya mana-mana aplikasi yang ada fungsi kamera turut boleh memanfaatkan ciri ini. Apa-apa pun, ia hanya boleh digunakan jika pembangun mengintegrasikan pemalam API Camera2 ini.

Komen