Carian
Apple Memohon Maaf Selepas Iklan iPad Pro Mengguris Perasaan
May 10, 2024 Effi Saharudin

Apple iPad Pro dilancarkan beberapa hari yang lalu dengan ia peranti pertama dengan cip Apple M4 dan juga adalah produk paling nipis pernah mereka hasilkan. Bagi menunjukkan kemampuan iPad Pro serta “kenipisannya” sebuah iklan telah dihasilkan menunjukkan pelbagai alat muzik, seni, permainan video dan banyak lagi dihimpit oleh sebuah mesin gergasi.

Hari ini Apple memohon maaf kerana menghasilkan iklan di atas kerana ia dilihat sebagai bersikap tidak sensitif terhadap artis. Oleh itu iklan ini tidak akan digunakan untuk mempromosikan iPad Pro di kaca TV. Iklan Crush! telah ditonton lebih sejuta kali di YouTube. Komen negatif mula muncul di media sosial seperti X/Twitter beberapa minit selepas iklan dipertontonkan.

Antara komen yang dapat kami lihat ialah video menunjukkan instrumen piano, trompet dan gitar dimusnahkan mengguris hati ahli muzik. Sementara itu pengguna dari Jepun pula mengatakan mengikut budaya tempatan, memusnahkan barangan seperti di dalam iklan dianggap perbuatan kurang beradab.

Di Malaysia pula kami tidak melihat golongan artis merungut. Mungkin kerana penggiat seni sudah pasrah memandangkan negara kita seni sudah lama tidak dipandang bernilai. Sehingga kini tiada kementerian khusus untuk kesenian sedangkan ia pernah wujud suatu ketika dahulu.

Komen