Carian
Enjin Nuklear Nadi Plasma Akan Mengurangkan Masa Perjalanan Ke Marikh
May 10, 2024 Effi Saharudin

Semalam kami laporkan NASA memberikan dana untuk projek FLOAT yang ingin membina sistem rel terapung di permukaan bulan. Selain FLOAT, NASA juga memberikan dana untuk projek Pulsed Plasma Rocket (PPR) yang sekiranya berjaya dibangunkan bakal memendekkan tempoh perjalanan ke Marikh.

Konsep enjin nuklear seperti DRACO yang disokong DARPA membolehkan angkasawan masa depan tiba ke Marikh dalam masa 3 bulan. Enjin nuklear nadi plasma PPR pula akan memendekkan masa perjalanan ke 2 bulan sahaja.

Enjin PPR dibangunkan oleh Howe Industries dan ia mampu menghasilkan tujahan setinggi 100,000 N dan impuls spesifik (isp) 5000 saat. Sebagai perbandingan enjin Raptor pada kapal angkasa Starship menghasilkan tujahan sekitar 3.2 juta N tetapi isp hanya 380 saat.

Untuk pengembaraan ke angkasa lepas, impuls spesifik yang tinggi adalah perlu kerana ia adalah kayu pengukur tahap kecekapan bahan api digunakan oleh roket. Dengan bahan api yang terhad, impuls spesifik yang tinggi dilihat lebih penting berbanding tujahan yang dihasilkan.

Howe industries kini perlu menghasilkan enjin PPR dengan isp yang lebih baik serta mengurangkan beratnya. Seterusnya sebuah prototaip untuk misi ke Marikh perlu dihasilkan.

Komen