Carian
Teknik Mengurangkan Berat Badan Seterusnya Ialah Dengan Membakar Lapisan Perut
May 10, 2024 Effi Saharudin

Anda pasti pernah mendengar prosedur pembedahan bariatrik yang mengecilkan saiz perut. Ia berjaya mengurangkan berat tubuh penerima prosedur ini tetapi mendatangkan komplikasi perlu makan hampir setiap masa dalam jumlah kecil. Suntikan Ozempic juga berkesan tetapi boleh meningkatkan risiko kanser tiroid. Maka pakar perubatan sentiasa mencari prosedur baharu untuk mengurangkan masalah berat badan tanpa bersenam.

Terkini teknik ablasi mukosa endoskopik telah digunakan oleh sekumpulan penyelidik untuk mengurangkan berat badan. Ia membakar bahagain atas lapisan dalam perut yang dipanggil fundus gastrik yang menghasilkan hormon ghrelin. Ghrelin menimbulkan perasaan ingin makan apabila perut mula kosong. Dengan membakar fundus gastrik, perasaan lapar dapat dikurangkan.

Peserta kajian yang terdiri daripada 10 wanita melaporkan purata penurunan berat badan sehingga 7.7%, perasaan lapar turun sepertiga dan kapasiti perut berkurangan sehingga 42%. Walaupun impak prosedur ablasi mukosa endoskopik adalah lebih rendah berbanding pembedahan bariatrik dan Ozempic, ia dilihat sebagai alternatif yang lebih mudah.

Pesakit tidak perlu dibedah kerana prosedur dilakukan menggunakan endoskop dengan alat pembakar yang sudahpun digunakan untuk membakar tumor kanser dalam perut. Mereka boleh pulang dengan pantas selepas prosedur dilakukan.

Keputusan kajian ablasi mukosa endoskopik akan dibentangkan dalam acara Digestive Disease Week yang akan berlangsung pada 19 Mei depan.

Komen