Pada bulan lepas, Acer telah memperkenalkan penawaran komputer riba gaming terbaru mereka, iaitu Acer Predator Helios Neo 14, sebuah komputer riba gaming bersaiz 14 inci yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel generasi ke-14 Meteor Lake dan juga kad grafik NVIDIA yang berkuasa.
Komputer riba ini tampil dengan paparan skrin bersaiz 14 inci beresolusi WQXGA (3072×1920) dengan kadar segar semula 165Hz yang mampu mengolah 100 gamut warna SRGB dan menyokong teknologi paparan NVIDIA G-SYNC untuk olahan grafik yang sempurna.

Komputer riba ini tampil dengan pilihan cip pemprosesan Intel generasi ke-14 Meteor Lake sehinggalah model Intel Core Ultra 9 185H dan juga gabungan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan apa-apa permainan komputer moden pada resolusi dan kadar segar semula tinggi.
Walaupun komputer riba ini mempunyai rekaan yang lebih padat berbanding dengan beberapa komputer riba dalam siri Predator ini sendiri, ia masih lagi dilengkapi dengan sistem penyejukan yang menggabungkan kipas penyejukan Aeroblade 3D generasi ke-5 dan juga gabungan bongkah penyejukan kuprum dengan logam cecair untuk memastikan haba dapat dialihkan daripada komponen CPU dan GPU dengan lebih cekap.

Bukan itu sahaja, komputer riba ini juga dimuatkan dengan sokongan teknologi WiFi 6E dan Thunderbolt 4 untuk sambungan internet nirwayar dan juga kadar penghantaran data yang jauh lebih pantas berbanding penawaran mereka sebelum ini.

Acer Malaysia telah mengumumkan bahawa Predator Helios Neo 14 ini sudahpun mula dijual di pasaran tempatam bermula hari ini, dengan penawaran satu jenis model sahaja. Disamping penawaran CPU Intel Core Ultra 9 dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060, ia juga tampil dengan memori LPDDR5X sebanyak 32GB dan juga storan SSD PCie Gen 4 sebesar 1TB pada harga RM7799.
Acer Malaysia turut menawarkan promosi pembelian awal dengan memberi pengguna beg bagasi Acer melbourne Luggage bernilai RM999 bermula hari ini (10 Mei 2024) sehingga 24 Mei 2024.