Atlet esukan kini boleh menjana pendapatan setanding atlet sukan sebenar dibantu oleh tajaan yang bernilai puluhan juta. Kelebihan esukan ialah kekuatan fizikal tidak diperlukan untuk berjaya. Dengan esukan popular di kalangan generasi muda, Dubai mempunyai impian menjadi pusat esukan dunia menjelang 2033.

Untuk merealisasikan impian ini, Dubai mula menawarkan visa gaming khusus untuk menarik bakat-bakat besar dalam dunia esukan dan permainan video. Ia tidak terhad kepada atlet esukan tetapi juga penghasilan permainan video, artis konsep dan pekerja syarikat permainan video. Industri permainan video pada ketika ini mejana pendapatan lebih tinggi berbanding sektor perfileman Hollywood setiap tahun.
Populariti permua yang kini juga pasarannya lebih besar berbanding gandingan PC dan konsol boleh menjadi sumber ekonomi yang besar untuk Dubai dan seterusnya UAE. Untuk memohon visa gaming ini, individu perlu berusia 25 tahun ke atas dan menghantar ikhtisar diri.
Beberapa minggu lalu Abu Dhabi mengumumkan projek Pulau Esukan yang akan menempatkan stadium, pusat latihan, hotel dan ruang pejabat khusus untuk industri permainan video. Arab Saudi pula ingin membina stadium esukan terbesar dunia di Qiddiya. Mungkin dalam masa satu generasi sahaja pusat permainan video dunia akan berpindah dari Barat ke Timur Tengah.