Carian
Pandang Pertama Acer Predator Helios Neo 14 – Padat Dan Padu
May 10, 2024 Nazrin

Pada bulan lepas, Acer telah memperlihatkan komputer riba gaming Acer Predator Helios Neo 14, iaitu model 14 inci kepada siri komputer riba gaming berkuasa Acer Predator Helios Neo, yang juga tampil dengan model 16 inci.

Hari ini, Acer Malaysia telah mengumumkan jualan untuk komputer riba tersebut, dimana untuk pasaran Malaysia, ia hadir dengan satu model sahaja, dan dijual pada harga RM7799. Kami juga berkesempatan untuk melihat sendiri komputer riba ini, dan ini ialah pandang pertama kami mengenainya.

Spesifikasi

Bermula dengan spesifikasi komputer riba ini, ia tampil dengan paparan skrin bersaiz 14.5 inci dengan resolusi 3072×1920, kadar segar semula 165Hz dan mampu mengolah 100 peratus gamut warna SRGB dan menyokong teknologi paparan NVIDIA G-SYNC untuk olahan grafik yang sempurna sewaktu gaming ataupun menonton filem-filem dengan adegan aksi dan juga kandungan HDR.

Dari komponen dalaman, Predator Helios Neo 14 merupakan komputer riba pertama dari siri Predator yang menggunakan cip pemprosesan Intel Core Ultra generasi ke-14 Meteor Lake. Untuk model pasaran Malaysia, satu-satunya CPU yang digunakan ialah Intel Core Ultra 9 185H bersama-sama dengan 32GB memori LPDDR5X dan juga storan SSD PCIe Gen4 sebesar 1TB.

Dari segi kad grafik pula, Predator Helios Neo 14 tampil menggunakan NVIDIA GeForce RTX 4060 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan sebarang permainan-permainan moden yang anda mahu mainkan pada resolusi dan kadar segar semula tinggi tanpa masalah.

Rekaan

Acer Predator Helios Neo 14 tampil dengan rekaan serba hitam dan minimalis, tidak begitu beza dengan rekaan komputer riba moden mereka, tetapi terdapat beberapa perbezaan yang memperlihatkan keunikannya.

Rangka di belakang paparan dan juga papan kekunci seperti biasa diperbuat daripada logam aloi, tetapi apa yang lebih menarik ialah rangka bahagian bawah komputer riba ini diperbuat daripada plastik kitar semula PCR (Post Consumer Recyclable). Pihak Acer Malaysia mengesahkan perkara ini kepada kami, dan mengatakan bahawa jumlah penggunaan PCR pada komputer riba ini adalah kurang dari 30 peratus, dan adalah sebab mengapa ia tidak dipasarkan sebagai sebuah komputer riba PCR.

Walaupun begitu, komputer riba Predator Helios Neo 14 ini merupakan salah satu daripada komputer riba Predator pertama yang menggunakan bahan kitar semula ini, dan tidak mengejutkan sekiranya jenama tersebut akan memperlihatkan lebih banyak penawaran yang menggunakan bahan kitar semula ini.

Dari segi pilihan palam, komputer riba ini hadir dengan beberapa pilihan palam yang menarik, termasuklah palam Thunderbolt 4, palam USB Type-C yang juga boleh digunakan sebagai sambungan Mini DisplayPort 1.4, dua palam USB 3.2 Gen 2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam pengecasan dan satu pembaca kad MicroSD.

Bukan itu sahaja, dengan spesifikasi berkuasa pada komputer riba ini, kita juga dapat memperlihatkan bahawa papan kekunci Predator Helios Neo 14 ini juga hadir dengan kekunci khusus Microsoft Copilot yang memudahkan akses kepada pembantu AI Microsoft.

Penutup

Pendapat saya mengenai prestasi komputer riba ini perlu tunggu sehingga saya telah mencuba komputer riba ini dengan sendiri. Tetapi saya sangat berterima kasih kepada Acer kerana akhirnya mengumumkan pencabar kepada ASUS yang hadir dengan penawaran komputer riba kelas gaming 14 inci mereka sendiri melalui ROG Zephyrus G14.

Bagi saya, rekabentuk komputer riba 14 inci ini adalah yang terbaik untuk digunakan didalam pejabat ataupun di rumah, tetapi juga untuk dibawa kemana-mana. Saya sendiri menggunakan komputer riba Acer Swift X 14 yang mempunyai rekaan yang hampir sama, tetapi dengan konfigurasi yang berbeza (Intel Core i7 generasi ke-13 dan NVIDIA GeForce RTX 4050) dan sekiranya saya berpeluang untuk menaiktarafkan komputer riba saya ke Predator Helios Neo 14 ini, saya tidak akan teragak-agak untuk melakukannya.

Komen