Isu cetak rompak digital yang semakin berleluasa saban tahun masih belum menemui titik noktah. Kesannya terhadap penggiat dan karyawan seni adalah sangat besar sehinggakan turut mampu menjejaskan ekosistem industri kreatif tempatan.

Realitinya aplikasi telegram juga tidak terkecuali dalam mengalami isu berkenaan. Malahan beberapa aduan mengenai filem yang dicetak rompak dan diedarkan menerusi platform tersebut turut telah diterima oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Rentetan itu, Telegram dikatakan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan melalui MCMC dalam usaha membanteras gejala berkenaan. Memperincikan perkara itu, perbincangan secara berkala diantara pihak MCMC dan Telegram telah dibuat termasuk melibatkan isu pemilik hak cipta. Proses perbincangan juga akan ditambahbaik dan mengambil sedikit masa disebabkan kekurangan beberapa dokumen yang lengkap.
Untuk rekod, telegram juga sebelum ini pernah dihalang di Sepanyol kerana isu yang sama. Diikuti juga beberapa negara lain termasuk Brazil atas pelbagai sebab.