Carian
Apple Tidak Sepatutnya Meminta Maaf Untuk Iklan iPad Pro
May 24, 2024 Nazrin

Beberapa minggu yang lalu, Apple telah memperkenalkan siri tablet iPad terbaru mereka, yang terdiri daripada Apple iPad Air dan Apple iPad Pro yang dikuasakan dengan cip pemprosesan Apple M2 (iPad Air) dan juga Apple M4 (iPad Pro) yang terbaru.

Bersama-sama acara tersebut ialah video pelancaran yang dirakam khusus untuk iPad Pro terbaru ini, yang memperlihatkan sebuah mesin mampat yang memampatkan pelbagai kelengkapan dan peralatan kreatif untuk memperlihatkan rekaan iPad Pro baru yang serba nipis, malah, seperti apa yang dikatakan Apple, adalah tablet iPad Pro yang paling berkuasa dan paling nipis mereka.

Tidak lama selepas itu, terdapat banyak komen di media sosial mengatakan bahawa Apple tidak sepatutnya menggunakan perkakasan muzik dan aksesori-aksesori ini dalam cara tersebut, dan terdapat pelbagai cara lain untuk mereka mempromosikan tablet terbaru mereka.

Apple kemudiannya telah meminta maaf kepada mereka yang rasa terkilan dengan iklan tersebut, tetapi nampaknya tidak melakukan langkah drastik seperti menurunkan video tersebut, yang pada pendapat saya, merupakan satu keputusan yang cukup baik oleh syarikat tersebut, walaupun saya cukup faham mengapa ramai daripada mereka yang di dalam industri kreatif tidak senang hati dengan iklan tersebut.

Apple Tidak Perlu Meminta Maaf

Dalam konteks video ini, saya berpendapat (yang tiada siapa minta ataupun tanyakan) bahawa Apple tidak perlu meminta maaf ke atas video iklan tersebut. Ia bukanlah keputusan tidak bernas pertama yang dilakukan oleh mereka, dan malah, bergerak ke masa hadapan, saya pasti bahawa mereka akan membuat lagi

Ini bukanlah kali pertama Apple tampil membuat keputusan drastik yang membuatkan ramai orang tidak senang hati. Ingatkah anda kali pertama apabila Apple mengumumkan bahawa mereka tidak lagi akan menawarkan palam audio 3.5mm dan fon telinga pada peranti pintar mereka, ataupun aksesori pengecasan di dalam kotak.

Keputusan ini dilihat sebagai anti-pengguna pada waktu tersebut, tetapi keputusan “berani” ini akhirnya telah diguna pakai oleh banyak jenama peranti pintar Android yang sebelumnya juga telah “mengutuk” Apple kerana melakukannya.

Malah, salah satu mutiara kata Steve Jobs “Some people say, “Give the customers what they want.” But that’s not my approach. Our job is to figure out what they’re going to want before they do.  People don’t know what they want until you show it to them.” menunjukkan bahawa pada satu ketika dahulu, rekaan Apple cukup hebat sekali sehingga mana mereka tidak perlu menunggu input pengguna untuk melancarkan produk baharu.

Kata-kata seperti ini mungkin dilihat sangat sombong sekali, tetapi ia dibelakangi oleh kejayaan dan jumlah jualan peranti pintar mereka yang sukar ditandingi. Kedudukan mereka sebagai salah satu jenama peranti elektronik terkemuka di arena global memberi mereka peluang untuk menjadi “angkuh” dan membuat keputusan-keputusan yang mungkin tidak begitu popular di kalangan pengguna, tetapi diikuti oleh banyak jenama-jenama peranti yang lain.

Keputusan seperti tidak lagi menawarkan palam audio 3.5mm seperti yang dikatakan beberapa perenggan sebelum ini, dan juga kepala pengecas USB adalah salah satu daripadanya. Walaupun langkah tersebut dikecam ramai dan banyak jenama mengetawakan mereka, gelak ketawa tersebut akhirnya menelan diri kerana mereka juga melakukan perkara yang sama.

Dan sewaktu perkara ini berlaku, dari mula hingga akhir tidak pernah sekali pun Apple meminta maaf untuk langkah-langkah perniagaan mereka. Oleh kerana itu, bagi saya ia agak ganjil sekali bahawa Apple meminta maaf untuk iklan iPad tersebut apabila orang ramai akan lupa mengenainya dalam beberapa hari atau minggu sahaja.

Keberanian Yang Memakan Diri?

Bagi saya, pilihan Apple untuk menggunakan mesin mampatan untuk iklan ini adalah sesuatu yang cukup berani sekali. Dimana Apple mungkin melihatnya sebagai kiasan untuk memampatkan alat-alat kreativiti ini ke dalam satu peranti, ramai dari golongan kreatif melihatnya sebagai Apple memberitahu orang ramai bahawa mereka hanya memerlukan sebuah iPad untuk mencipta karya-karya kreatif sekarang.

Interpretasi iklan ini adalah subjektif, dan saya tidak mahu menidakkan pendapat sesiapa kerana perbualan seperti ini pada pendapat saya, sekurang-kurangnya adalah perlu kerana seringkali konteks perbincangan sering di belakangkan oleh emosi, khususnya di arena internet moden ini.

Walaupun begitu, pada pendapat saya juga, apa Apple boleh lakukan mungkin ialah membuat iklan yang sama tetapi dengan teknologi kecerdasan buatan generatif AI dan tidak menggunakan kelengkapan kreatif sebenar dalam perfileman iklan tersebut.

Ia bukanlah satu rahsia bahawa Apple juga mahu memasuki arena AI generatif dimana peranti iPhone seterusnya mungkin akan hadir dengan ciri ini. Dengan cara ini, Apple bukan sahaja boleh memasarkan iPad Pro mereka sebagai alat penjana kreativiti, tetapi memulakan perbualan tentang bagaimana mereka akan mengimplimentasi teknologi AI generatif ini pada peranti-peranti mereka akan datang.

Walaupun begitu, saya juga berpendapat bahawa sentimen negatif terhadap penggunaan AI generatif adalah satu kerisauan yang sahih kerana banyak sahaja syarikat-syarikat korporat dan juga badan-badan kerajaan yang sudahpun menggunakan teknologi ini secara semberono untuk mengelakkan daripada membayar profesional-profesional kreatif untuk mendapatkan hasil yang cepat dan percuma, tetapi tiada jiwa dan budaya disebaliknya.

Tetapi itu adalah untuk nukilan di masa akan datang. Ya, saya masih berpendapat bahawa Apple tidak sepatutnya meminta maaf di atas iklan iPad Pro terbaru mereka. Patutkah mereka kembali ke papan lukisan untuk melihat kembali bagaimana mereka boleh memasarkan produk mereka tanpa melukakan perasaan kreatif-kreatif yang sedikit sebanyak juga memberi mereka ilham untuk pembikinan iklan tersebut? Juga ya.

Komen