Carian
Sony Xperia 1 VI Diacah Tidak Lagi Menggunakan Skrin Lonjong
May 13, 2024 Effi Saharudin

Sony ialah satu-satunya syarikat yang menawarkan telefon pintar dengan skrin memanjang 21:9. Dengan skrin memanjang, kandungan sinematik boleh ditonton tanpa palang hitam di bahagian atas dan bawah seperti pada telefon dengan skrin lain. Sempena pelancaran Xperia I VI pada 15 Mei ini, Sony menerbitkan video acah yang memberikan petunjuk skrin memanjang yang digunakan sejak lima tahun lalu tidak lagi akan digunakan.

Video menunjukkan rekaan panel depan Xperia 1 VI yang jelas tidak lagi dengan nisbah 21:9. Sebaliknya ia lebih menghampiri nisbah 19.5:9 yang digunakan majoriti telefon pintar lain di pasaran. Kami akui siri Xperia 1 memang mempunyai rekaan yang unik tetapi hakikatnya ia sukar digunakan sebelah tangan kerana terlalu lonjong.

Paparan kandungan dalam aplikasi juga nampak canggung kerana skrin yang lebih panjang. Kami jarang sekali bertemu insan yang mengatakan skrin 21:9 ialah nisbah yang mesra pengguna. Jika perubahan dilakukan oleh Sony kami amat menyambut baik keputusan mereka.

Selain Sony, Samsung juga dikhabarkan akan menggunakan skrin yang tidak lagi lonjong pada Galaxy Z Fold6 yang akan dilancarkan Julai depan. Honor Magic V2, Vivo X Fold3 dan Oppo Find N3 membuktikan skrin luar yang lebih sama dengan skrin telefon pintar konvensional adalah lebih baik untuk peranti skrin lipat.

Komen