Mac lalu Richard Slayman dari Massachusetts menjadi manusia hidup pertama menerima ginjal khinzir. Tetapi malang sekali pada hujung minggu lalu beliau telahpun meninggal dunia. Namun doktor dari Massachusetts General Hospital yang melakukan pembedahan xenotransplan ke atas beliau berkata kematian tidak disebabkan oleh komplikasi dengan organ yang diterima.
Beliau menghidap penyakit kerosakan ginjal tahap akhir dan menghadapi masalah mendapatkan organ gantian disebabkan faktor usia. Doktor dari Massachusetts General Hospital menjadikan beliau manusia hidup pertama menerima ginjal khinzir yang telah disunting gen bagi membolehkan ia sesuai digunakan oleh manusia. Selepas lebih seminggu, organ didapati berfungsi dengan normal tanpa tanda penolakan.

Sebelum Slayman, dua pemindahan ginjal khinzir ke tubuh manusia dilakukan tetapi penerimanya sudah mengalami kematian otak. Selepas dua minggu organ dikeluarkan semula dan mereka meninggal dunia.
Walaupun Slayman telah meninggal dunia, keluarga beliau mengucapkan terima kasih kepada doktor-doktor di MGH kerana membolehkan beliau hidup untuk tujuh minggu lagi. Tanpa pemindahan ginjal khinzir, beliau mungkin akan meninggal dunia lebih awal.
Di Amanz kami telah mengikuti pelbagai usaha dunia perubatan untuk menggunakan organ haiwan sebagai ganti organ manusia. Khinzir menjadi pilihan kerana saiz organ setanding manusia dan haiwan mencapai tempoh matang dalam masa tiga bulan. Setiap khinzir akan menerima rawatan genetik bagi meningkatkan keserasian dengan tubuh penerima manusia.
Ginjal ialah organ tubuh utama pertama yang berjaya dipindahkan daripada tubuh satu manusia ke seorang lagi penerima manusia pada Disember 1954. Kemudian diikuti pula oleh hati, jantung dan pankreas. Walaupun teknologi sudah wujud hampir 70 tahun, ia masih belum mampu menyelamatkan nyawa semua pesakit yang memerlukan organ kerana kurangnya penderma.