Xenotransplan ialah teknologi yang telah diusahakan sejak sedekad lalu untuk menyelesaikan isu kekurangan penderma organ. Saintis segera mendapati organ khinzir ialah analog terbaik sebagai ganti organ manusia kerana saiznya yang sama dan khinzir membiak dengan pantas. Dua minggu lalu, Richard Slayman dari Massachusetts menjadi manusia hidup pertama menerima ginjal khinzir.
Beliau menghidap penyakit kerosakan ginjal tahap akhir dan menghadapi masalah mendapatkan organ gantian kerana usia beliau. Doktor dari Massachusetts General Hospital menjadikan beliau manusia hidup pertama menerima ginjal khinzir yang telah disunting gen bagi membolehkan ia sesuai digunakan oleh manusia. Selepas lebih seminggu, organ didapati berfungsi dengan normal tanpa tanda penolakan.

Sebelum ini dua pemindahan ginjal khinzir ke tubuh manusia dilakukan tetapi penerimanya sudah mengalami kematian otak. Selepas dua minggu organ dikeluarkan semula dan mereka meninggal dunia.
Masih terlalu awal untuk mengatakan pemindahan ini berjaya kerana hampir dua tahun lalu, penerima jantung khinzir pertama meninggal dunia empat bulan pasca pembedahan. Jangkitan virus khinzir dipercayai menjadi sebab kematian.
Saintis percaya paru-paru , kulit dan hati khinzir juga boleh dipindahkan ke tubuh manusia di masa hadapan. Selain menggunakan khinzir, teknologi cetakan 3D dan menghasilkan organ gantian dengan sel tunjang juga turut sejak dikaji bagi mereka yang merasakan khinzir ialah haiwan yang sensitif menurut hukum agama.