Carian
iOS 17.5 Dan Android 6 Ke Atas Kini Boleh Membanteras Penyalahgunaan Penjejak Objek
May 14, 2024 Fahim Zahar

Penjejak objek telah menjadi trend selepas Apple memperkenalkan AirTags. Ini kerana ia menggunakan sistem rangkaian Find My yang menjadikan semua pengguna peranti Apple sebagai nod untuk penjejak objek ini berfungsi dengan baik. Google dan Apple turut telah bekerjasama agar sistem operasi masing-masing boleh mengenalpasti penjejak objek berdekatan agar tiada orang salah guna untuk tujuan mengintip.

Google telah memperkenalkan ciri ini sejak Julai tahun lepas, tetapi hanya diedarkan di negara terpilih dengan sistem Find My Devide baharu. Dalam perkongsian Apple baharu, mereka menyatakan peranti iOS 17.5 dan peranti Android 6.0 ke atas sedia menyokong ciri Detecting Unwanted Location Trackers. Peranti pengguna akan menerima pemberitahuan [Item] Found Moving With You jika ada penjejak objek berdekatan.

Objek yang akan terkesan adalah di bawah jenama Chipolo, eufy, Jio, Motorola, dan Pebblebee serta mereka yang mengikut piawaian Internet Engineering Task Force. Dengan ciri ini, pengguna boleh mengenalpasti identiti penjejak objek dan jika ia penjejak yang tidak dikenali arahan cara untuk mematikannya akan diberikan. Adakah anda pernah menemui penjejak objek tidak dikenali berada berdekatan anda dan rasa risau? Selepas ini anda tidak lagi perlu risau dan jika anda kerap berjalan keluar negara asing, penjejak seperti ini adalah sangat digalakkan diletakkan di dalam beg galas.

Komen