Beberapa minggu lalu, Samsung Malaysia telah mengumumkan pembukaan pra-tempah untuk pembesar suara terbaru mereka yang dinamakan Samsung Music Frame pada harga RM1499. Keunikan Samsung Music Frame dilihat pada rekaannya, yang kelihatan seperti sebuah bingkai gambar yang boleh diletakkan diatas meja, ataupun digantung pada dinding.

Music Frame dilengkapi dua woofer, dua tweeter dan dua pemandu midrange yang membolehkan ia memainkan audio Dolby Atmos. Sehingga lima Music Frame boleh digabungkan secara serentak. Ia turut serasi dengan sistem Q-Symphony membolehkan ia berfungsi selari dengan TV pintar keluaran Samsung.
Menerusi sistem Samsung SpaceFit pula, speaker akan menala audio secara automatik mengikut saiz bilik. Peranti muzik boleh ditambat kepada Music Frame menggunakan Bluetooth serta sambungan WiFi tetapi tiada sokongan AirPlay 2.

Hari ini Samsung Malaysia turut mengumumkan bahawa pembesar suara Samsung Music Frame ini sudahpun mula ditawarkan di Malaysia pada harga RM1999. Dengan setiap pembelian televisyen pintar Samsung terpilih, anda juga boleh membeli pembesar suara ini pada harga RM1499.