Carian
Anda Kelak Boleh Rumus Emel Dan Soal Jawab Dengan AI Pada Gmail
May 15, 2024 Fahim Zahar

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Google akan memperkenalkan ciri merumuskan emel pada Gmail dan di Google I/O malam tadi ciri ini telah diumumkan. Berdasarkan demonstrasi Google, ciri ini berguna untuk mereka yang banyak berkomunikasi dengan emel sehingga satu emel mempunyai bebenang yang banyak. Hanya tekan Summarize this email, tetingkap kecil akan terbuka merumuskan keseluruhan emel.

Bukan itu sahaja, Google turut memperkenalkan ciri soal jawab hanya dengan memasukkan prom yang ringkas. Misalnya, anda sedang menguruskan emel yang banyak bercakap mengenai perundingan harga dengan pembekal dan menerima banyak sebut harga – Gmail boleh rumuskan dan cipta jadual perbandingan.

Kemudian dalam Gmail, Gemini turut akan sedia terbina. Pengguna boleh buka emel baharu yang sedang berbincang mengenai perbelanjaan bulanan dan bajet sedia ada, Gemini boleh cipta jadual duit keluar dan masuk serta mencipta laporan. Ciri merumuskan emel akan tiba ke pengguna seawal bulan ini, sementara ciri soal jawab akan diterima oleh pengguna Google Labs seawal bulan Julai nanti.

Komen