Carian
Meta Sedang Bangunkan Peranti AI Berbentuk Fon Telinga Dilengkapi Kamera
May 16, 2024 Aman

Meta merupakan salah satu syarikat yang melakukan pelaburan tinggi dalam arena kecerdasan buatan, malah turut menawarkan model bahasa raya mereka, LlaMa dalam bentuk sumber terbuka. Tidak terhenti setakat itu, kini Meta turut dilaporkan sedang membangunkan sebuah peranti dengan fokus kecerdasan buatan.

Peranti berkenaan dikatakan hadir dalam rekaan sebuah fon telinga yang turut mempunyai kamera. Ia dikenali dengan nama “Camerabuds” secara dalaman buat masa ini.

Walaupun tidak dinyatakan, peranti ini mungkin membolehkan pengguna berinteraksi dengannya, dan ia akan memberikan maklumbalas masa-nyata berkenaan sekeliling dan sebagainya menggunakan sokongan kamera. Secara tidak langsung, ia akan membolehkan Meta merealisasikan “JARVIS” untuk setiap pengguna melalui peranti ini.

Namun, terdapat sejumlah cabaran dalam pembangunannya, termasuk rambut panjang yang mungkin membawa gangguan pada kamera, disamping beberapa cabaran teknikal lain.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan arena ini, dan siapakah yang bakal merevolusikan pasaran melalui penawaran peranti AI masing-masing.

Komen